Tang Jie-Ee Wei kembali kerah keringat 

Tang Jie-Ee Wei kembali kerah keringat 

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kembali ke kejohanan kompetitif dengan menyertai Kejohanan China Masters yang membuka tirai hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan tumpuan utama mereka kini terarah kepada Kejohanan Badminton China Masters hari ini selepas menutup buku gemilang sebagai juara dunia di Paris bulan lalu.

Gandingan No. 3 dunia itu mahu mengekalkan momentum terbaik sambil menguji semula kombinasi taktikal menjelang kempen padat hujung tahun.

Tang Jie menegaskan bahawa mereka tidak lagi terbuai dengan kejayaan menjadi juara dunia, sebaliknya kekal konsisten menjelang Jelajah Dunia Akhir pada Disember ini sebagai penutup musim yang sempurna.

“Kami tidak boleh mengawal apa orang lain fikir tentang kami, tetapi bagi kami, Juara Dunia sudah berakhir. Ia sudah berakhir untuk kami, jadi sekarang masa untuk memulakan perjalanan baharu.

“Kami hanya mahu menikmati permainan seperti sebelum ini tanpa fikir status kami sebagai juara dunia. Fokus kami adalah untuk bermain seperti diri kami sendiri, kekal rendah diri dan terus bekerja keras,” kata Tang Jie.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan bertaraf Super 750 itu bakal membuka tirai menentang wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett di pusingan pertama.

Dalam pada itu, Tang Jie mengakui mereka bukan pasangan ‘kebal’ dan tetap akan berdepan turun naik dalam prestasi sepanjang musim.

“Kami bukan wira perkasa, setiap pemain ada naik turunnya. Kami bukan tiba-tiba jadi juara dunia.

“Semua ini hasil pengalaman lepas, latihan dan juga kekalahan. Untuk masa depan, kami hanya perlu rendah diri dan berjuang untuk negara,” katanya.

Pasangan itu memilih untuk tidak menyertai Terbuka Hong Kong minggu lalu selepas ketua jurulatih beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto mahu mereka fokus kepada kejohanan seperti Super 750 sebagai persediaan terbaik ke Jelajah Dunia Akhir pada Disember nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN