Pertahanan kental, Cklamovski puji Harimau Malaya

Pertahanan kental, Cklamovski puji Harimau Malaya

Peter Cklamovski
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memuji persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya selepas menewaskan Palestin 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.

Menurut Cklamovski, kemenangan itu adalah bukti kesungguhan, disiplin dan mentaliti sepasukan yang dipamerkan pemain ketika berdepan pasukan yang agresif termasuk pemain tempatan yang menjaga kemas benteng pasukan kebangsaan.

“Tempoh 60 minit pertama adalah yang terbaik buat skuad negara, namun memasuki 20 minit terakhir kami banyak bertahan dengan baik bagi mematahkan asakan bertali arus pasukan lawan.

“Saya bangga dengan pemain kerana berjaya merekodkan kemenangan tanpa dibolosi, ini saya pencapaian yang membanggakan.

“Kita berjaya tewaskan Palestin, pasukan yang telah layak beraksi di Piala Asia dan berada pada ranking ke-98 dunia. Tahniah diucapkan kepada semua pemain,” katanya.

Pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 itu, Joao Figueiredo muncul wira Malaysia apabila jaringan tunggalnya pada minit kedua bagi membantu Harimau Malaya menewaskan Palestin.

Pengendali kelahiran Australia itu juga berpuas hati setelah pemain tempatan yang diberikan tugas di barisan pertahanan melakukan tugas dengan baik sepanjang 90 minit permainan.

Katanya, langkahnya mempertaruhkan Shahrul Saad, Harith Haiqal Adam Afkar dan Dominic Tan ‘menjadi’ setelah berjaya mematikan asakan lawan dan mengelakkan gawang bolos.

“Saya percaya dengan kemampuan kesemua pemain dan yakin mereka dapat jalankan tanggungjawab sebaiknya. Kami membuat tujuh pertukaran pemain sejak perlawanan terdahulu dan melakukan enam pertukaran, namun komitmen yang ditunjukkan setiap pemain amat membanggakan,” katanya.

Katanya, selepas melalui dua aksi persahabatan itu, beliau akan memastikan untuk meningkatkan lagi kualiti permainan dan bersedia untuk aksi Oktober nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×