PETALING JAYA: Penyerang import Selangor FC, Chrigor Moraes menjadi sandaran utama skuad Gergasi Merah menentang Bangkok United dalam pembuka tirai Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.
Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengakui prestasi penyerang berasal dari Brazil itu semakin meningkat dan diyakini mampu menjadi mesin gol buat Selangor.
“Buat masa ini, prestasi dia (Moraes) hari demi hari meningkat. Jadi nampaknya dia akan menjadi sandaran utama pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Moraes sebelum ini beraksi bersama Buriram United di Thailand dan mempunyai rekod jaringan yang konsisten dengan lapan gol sepanjang musim lalu dan setakat ini mengumpul empat gol dalam kempen Liga Super musim ini dan tiga lagi dalam kancah Piala FA.
Mahfizul percaya pengalaman luasnya di Liga Thailand mampu memberi kelebihan tambahan ketika bertemu wakil Bangkok itu.
“Kita berharap dia dapat mengekalkan konsistensi dalam menjaringkan gol. Selain itu, dia juga ada input yang boleh membantu pasukan kerana pernah bermain dalam liga yang sama. Itu satu nilai tambah,” jelas Mahfizul.
Selain Moraes, Selangor turut diperkuatkan oleh Kevin Deeromram yang juga pernah beraksi di Thailand, sekali gus memberi taktikal tambahan untuk berdepan Bangkok United. – UTUSAN










