Machuca harumkan nama Malaysia

Machuca harumkan nama Malaysia

Pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca (dua dari kiri) mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila menjulang piala Supercopa Argentina bersama kelabnya, Velez Sarsfield, kelmarin. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila menjulang piala Supercopa Argentina bersama kelabnya, Velez Sarsfield, kelmarin.

Kejayaan itu hadir selepas Machuca membantu kelab itu membenam Central Cordoba 2-0, sekali gus meraih trofi kedua selepas berjaya menjulang Supercopa Internacional pada Julai lalu.

Kemenangan Velez pada aksi fnal itu disumbangkan menerusi dua jaringan penyerang muda, Jano Gordon, sekali gus memastikan mereka menambah koleksi kejuaraan berganda dalam tempoh singkat.

Machuca, 25, yang diturunkan dalam kesebelasan utama, sekali lagi menjadi taruhan penting di posisi sayap dengan kelincahannya sebelum digantikan oleh bekas penyerang West Ham, Manuel Lanzini pada minit ke-63.

Bagi Machuca, kejayaan kali ini cukup istimewa kerana ia kali pertama dalam kariernya berjaya meraih trofi utama di pentas bola sepak Argentina selepas beberapa musim bergelut memburu kejayaan.

Lebih menarik, ia membuktikan kehadirannya dalam skuad Velez bukan sekadar melengkapkan pasukan, sebaliknya menjadi watak penting dalam perjalanan kelab bersejarah itu.

Nama Machuca semakin dekat di hati selepas dia muncul antara pemain warisan yang membantu Malaysia mencipta kemenangan bersejarah ke atas Vietnam pada 10 Jun lalu.

Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, Machuca menjadi antara penggerak utama ketika Harimau Malaya membenam Vietnam 4-0, sekali gus menamatkan badi 11 tahun tanpa kemenangan ke atas lawan itu.

Kejayaan terbaru di Argentina pastinya memberi tonik tambahan buat Machuca untuk terus menyerlah bersama kelabnya, selain memberi keyakinan lebih besar apabila kembali menyarung jersi kebangsaan.

Machuca tidak bersama kem Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan antarabangsa bulan ini dan dijangka Kembali dipanggil pada bulan depan untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×