Lompat tinggi perlu kembali kebal

Lompat tinggi perlu kembali kebal

Nauraj Singh Randhawa beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia 2022 di Oregon, Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suatu ketika dahulu acara lompat tinggi lelaki menjadi lambang kekuatan sukan olahraga negara di pentas Sukan SEA sejak 1977.

Dari era legenda seperti Baljit Singh, Ramjit Nairu, Ho Yoon Wah, S. Kesavan, Lou Cwee Peng, Loo Kum Zee, Lee Hup Wei sehinggalah Nauraj Singh Randhawa, Malaysia mendominasi sepenuhnya acara ini, termasuk memegang rekod temasya lebih dua dekad.

Namun, kali terakhir Malaysia menguasai acara tersebut pada edisi 2019 apabila pingat emas dan perak masing-masing dimenangi Hup Wei dan Nauraj sebelum diambil alih atlet Thailand, Tawan Kaeodam yang turut mencipta rekod temasya pada 2023.

Penguasaan Malaysia kian pudar berikutan ketiadaan penyambung legasi Hup Wei dan Nauraj malah pelapis negara ketika ini, Kuan Jhy Yunn melakukan lompatan 2.15 meter (m) di Terbuka Malaysia minggu lalu sedangkan kelayakan untuk ke Sukan SEA adalah 2.17m.

Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, Malaysia tidak boleh membiarkan penguasaan atlet dari negara lain bagi acara itu untuk satu tempoh yang terlalu lama dan perlu segera mencari pelapis.

“Dahulunya kita boleh dikatakan untuk acara lompat tinggi kita menguasainya dari zaman Ramjit Nairu malah kita jugalah yang memegang rekod temasya iaitu. 2.24 meter.

“Namun, selepas Nauraj gagal dapatkan emas (menang perak Sukan SEA 2021), saya tengok kita sudah terlepas acara lompat tinggi yang kini dikuasai Thailand.

“Saya fikir ini sesuatu perkara yang perlu dilihat semula. Ini yang saya katakan, satu demi satu acara kita terlepas (genggaman pingat emas) dan sekarang lompat tinggi,” katanya.

Malaysia memegang rekod temasya menerusi lompatan 2.24 m yang dilakukan Kum Zee pada edisi 1995 sebelum Hup Wei dan Nauraj menyamainya pada 2017 namun kini ia dipegang oleh Kaeodam dengan catatan 2.27m.

Pekan turut berkata, sekiranya Kaeodam meneruskan penguasaannya dalam acara tersebut maka tipislah harapan Malaysia untuk memenangi pingat emas.

“Dengan adanya Thailand kita jangka memang sukar dan buat masa sekarang kita pun tak tahu atlet lompat tinggi kita di tahap mana. Mereka mungkin boleh lompat 2.15m atau 2.17m tapi nak melepasi 2.20m masih belum nampak lagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×