Elak skrip sama, mahu bangkit di China Masters

Elak skrip sama, mahu bangkit di China Masters

Pearly Tan dan M. Thinaah berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan terus larut dalam kekecewaan selepas terkandas di separuh akhir Terbuka Hong Kong, kelmarin.

Pasangan No.2 dunia itu melepaskan peluang mempertahankan kejuaraan apabila ditundukkan gandingan China no.4 dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.

Pearly mengakui kelemahan mental menjadi faktor utama apabila mereka gagal mengekalkan rentak permainan meskipun sudah mendahului lawan.

“Saya rasa dari segi mental, kami agak tergesa-gesa kerana apabila kami sedang mendahului, kami mahu mendapatkan lebih banyak mata tetapi kami terlupa tentang cara permainan kami sendiri.

“Pada masa itu, fokus kami semakin menurun dan kami melakukan banyak kesilapan mudah serta mula mengikut rentak mereka,” kata Pearly.

Walaupun tewas, gandingan negara itu berazam untuk segera bangkit dengan menjadikan China Masters minggu depan sebagai pentas kebangkitan.

Dalam pada itu, Thinaah turut meluahkan penghargaan kepada penyokong di Hong Kong yang disifatkan tidak pernah berhenti memberi semangat sepanjang kejohanan.

“Bermain di Hong Kong mengingatkan kami tentang bermain di gelanggang sendiri kerana ramai penyokong yang sentiasa menyokong dan tidak pernah berputus asa terhadap kami,” kata Thinaah.

Pearly-Thinaah dijadual memulakan kempen China Masters dengan menentang beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari di pusingan pertama.

Di atas kertas, gandingan negara itu dijangka tidak berdepan masalah untuk melepasi halangan awal kerana mereka mempunyai rekod cemerlang dengan melakar lima kemenangan dalam enam pertemuan sebelum ini ke atas pasangan Indonesia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN