LIVERPOOL: Anfield sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila Liverpool menerima kunjungan seteru tetangga, Everton dalam aksi derbi Merseyside Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dijangka sengit , malam ini.
Skuad kendalian Arne Slot berada dalam mood terbaik selepas mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Atletico Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah di laman sendiri, hasil jaringan minit akhir Virgil van Dijk.
Lebih menarik, The Reds masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus musim ini, dengan semua jaringan kemenangan hadir dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan.
Corak permainan penuh intensiti hingga ke wisel penamat menjadi antara senjata utama The Reds.
“Kami cukup cergas untuk terus menekan hingga ke hujung perlawanan. Itu mentaliti pasukan ini,” ujar Slot, sambil menegaskan Liverpool kini semakin matang dalam menguruskan tekanan.
Tumpuan turut terarah kepada Alexander Isak, pemain dengan rekod perpindahan termahal Britain yang dibeli dari Newcastle United pada tarikh tutup jendela perpindahan.
Penyerang Sweden itu dijangka diberikan lebih banyak minit selepas melakukan penampilan sulung pertengahan minggu lalu.
Everton yang dibimbing David Moyes pula muncul sebagai antara pasukan pencabar musim ini dan kehadiran Jack Grealish, yang dipinjamkan daripada Manchester City, memberi tambahan kreativiti di bahagian serangan sekali gus menjadikan Toffees lebih seimbang dari segi taktikal.
Sementara itu, pertembungan Manchester United yang melayan kunjungan Chelsea di Old Trafford juga bakal menjadi tumpuan pada aksi EPL minggu ini.
Kedua-dua kelab itu turun dengan musi memburu kemenangan bagi mengubat duka selepas mereka tewas dalam aksi terakhir, di mana United kalah 3-0 kepada Manchester City dalam kempen EPL manakala Chelsea tunduk 3-1 dalam saingan Liga Juara-Juara. – AGENSI/UTUSAN










