LONDON: Chelsea berdepan ujian getir apabila berkunjung ke Allianz Arena esok dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich tanpa kepastian khidmat penyerang, Joao Pedro.
Pengendali The Blues, Enzo Maresca mengakui bintang Brazil itu masih belum mencapai tahap kecergasan 100 peratus meskipun diturunkan ketika seri 2-2 menentang Brentford, Sabtu lalu.
“Joao Pedro sebelum perlawanan sudah beritahu saya dia tidak cergas sepenuhnya. Jika ikut perancangan, dia patut berada di bangku simpanan kerana fokus kami adalah pertemuan dengan Bayern. Namun, kelemahan di jentera serangan memaksa dia bermain,” kata Maresca.
Pedro bernilai 60 juta pound (RM360 juta) itu sebelum ini tampil bersama skuad kebangsaan Brazil ketika rehat antarabangsa, namun gagal mempamerkan sentuhan terbaik bersama Chelsea apabila tidak melakukan sebarang percubaan ke arah gawang lawan.
Walaupun membantu jaringan penyamaan Cole Palmer, prestasinya tetap menimbulkan keraguan besar menjelang aksi getir menentang gergasi Jerman tersebut.
Situasi The Blues bertambah rumit apabila penyerang Liam Delap yang bernilai 30 juta pound (RM180 juta) disahkan mengalami kecederaan otot paha dan hanya dijangka kembali pada Disember ini manakala Nicolas Jackson pula dipinjamkan ke Bayern dan dibenarkan beraksi menentang kelab induknya.
Chelsea memanggil pulang penyerang muda Marc Guiu dari Sunderland sebagai langkah kecemasan, namun Maresca tetap menuntut anak buahnya berjuang habis-habisan.
“Kalau musim ini kami bermain di UCL, itu hasil kerja keras dalam Liga Perdana. Dan jika kami mahu ke sini lagi musim depan, kami perlu terus konsisten dalam EPL,” tegasnya. – AGENSI/UTUSAN










