Beasley ada sebab Azizulhasni tidak tersenarai

Beasley ada sebab Azizulhasni tidak tersenarai

Azizulhasni Awang masih mampu membutirkan pingat buat Malaysia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Status Muhammad Shah Firdaus Sahrom ke Sukan SEA Thailand pada Disember ini yang masih menjadi tanda tanya menjadikan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berpotensi untuk menggalas cabaran berdasarkan prestasi semasa beliau

Shah yang berusia 30 tahun itu masih bergelut dengan kecederaan lutut kanan dan hanya akan diketahui kesediaannya menjelang tarikh kejohanan semakin hampir.

Sebaliknya, Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe yang sempat membuat kemunculan semula dengan gangsa acara pecut dan tempat kelima dalam keirin pada Piala Trek Asia di Thailand bulan lalu disahkan tidak tersenarai ke Bangkok.

Pengarah teknikal berbasikal trek negara, John Beasley menjelaskan keputusan berkenaan dibuat kerana Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu baru kembali menjalani latihan serius selepas hampir enam bulan berehat sejak pasca Sukan Olimpik Paris 2024.

“Ini keputusan yang sukar kerana Azizulhasni baru dua bulan memulakan latihan serius selepas hampir enam bulan tanpa sebarang rutin, jadi kami tidak mahu mengambil risiko.

“Sekarang fokusnya adalah untuk pulih secara beransur-ansur, kayuhan demi kayuhan, bukannya terus diletakkan dalam kejohanan berintensiti tinggi seperti Sukan SEA,” kata Beasley kepada Utusan Malaysia.

Ketiadaan dua ikon itu membuka ruang besar buat trio pecut lelaki negara iaitu Muhammad Fadhil Mohd. Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom dan Mohd Akmal Nazimi Jusena untuk menggalas cabaran.

Mereka sudah membuktikan kemampuan apabila menghadiahkan emas acara pecut berpasukan lelaki pada Piala Trek Asia bulan lalu sekali gus menampilkan diri sebagai taruhan utama.

Ridwan, 24, turut mencuri perhatian apabila menamatkan saingan di tempat kedua dalam keirin pada kejohanan sama sebelum dibatalkan kerana kesalahan teknikal.

Untuk rekod, kali terakhir acara trek dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu adalah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan Azizulhasni meraih emas menerusi keirin dan pecut individu.

Dengan hanya dua acara dipertandingkan iaitu keirin dan pecut berpasukan di Thailand, Malaysia meletakkan harapan penuh kepada Fadhil, Ridwan dan Akmal untuk mengekalkan reputasi kuasa besar trek serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×