LONDON: Raheem Sterling mengetuai senarai sembilan pemain Chelsea yang diketepikan sepenuhnya daripada skuad utama, termasuk tiada profil rasmi di laman web kelab.
Pemain berusia 30 tahun itu bersama lapan pemain lain dilaporkan tidak lagi dalam perancangan The Blues.
Sterling dan rakan-rakannya kembali dari percutian selepas Piala Dunia Kelab, namun masih belum jelas masa depan mereka bersama kelab, tatkala Chelsea giat berusaha mencari destinasi baharu buat mereka.
Musim panas ini, Chelsea sekali lagi berbelanja besar termasuk mendapatkan Joao Pedro dengan yuran 60 juta pound (RM337 juta), menyaksikan jumlah keseluruhan pemain utama mencecah 47 orang, satu angka yang sukar diurus.
Beberapa pemain seperti Armando Broja dan Lesley Ugochukwu hampir dijual ke Burnley, manakala tujuh lagi pemain yang keseluruhannya dibeli melebihi 200 juta pound (RM1.12 bilion) langsung tidak tersenarai di laman rasmi kelab meskipun secara rasmi mereka masih berstatus pemain Chelsea.
Nama-nama seperti Christopher Nkunku masih kekal dalam senarai utama, namun dilaporkan mungkin turut dijual sebelum jendela perpindahan ditutup 1 September ini.
Pemain sayap Ukraine, Mykhailo Mudryk yang kini berdepan penggantungan selepas gagal ujian doping, masih mempunyai gambar profil tetapi menyarung jersi musim lalu.
Dengan tambahan enam pemain lain yang dipinjamkan, Chelsea kini berdepan kesesakan pemain termasuk dari segi jumlah ejen dan kontrak yang perlu diuruskan.
Ia belum termasuk pemain baharu yang mereka masih kejar seperti Xavi Simons dari RB Leipzig dan Alejandro Garnacho dari Manchester United.
Sterling, yang dibeli dari Manchester City pada 2022 dengan harga 47.5 juta pound (RM267 juta), serta Ben Chilwell, bekas pemain England yang dibeli dari Leicester pada harga 50 juta pound (RM281 juta) pada 2020, diketepikan lebih setahun.
Pemain muda seperti Carney Chukwuemeka dan Ugochukwu pula kembali menjalani latihan di Cobham selepas pulang daripada pinjaman, manakala Renato Veiga dan David Datro Fofana masih belum mendapat tempat dalam perancangan pasukan.
Pengurusan Chelsea kini berdepan tugas besar untuk memastikan pengurus Enzo Maresca, mempunyai skuad dengan saiz yang boleh diuruskan secara efektif.
Bekas pengurus Graham Potter pernah mendedahkan ketika zaman beliau, jumlah pemain terlalu ramai hingga ada yang terpaksa duduk di lantai semasa sesi mesyuarat pasukan. – AGENSI/UTUSAN










