Skuad B-23 gugur tiga tonggak

Skuad B-23 gugur tiga tonggak

NAFUZI ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara melakukan kejutan apabila beberapa nama besar digugurkan menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di Pathum Thani, Thailand, dari 3 hingga 9 September ini.

Antara yang mencuri tumpuan, dua daripadanya adalah pertahanan kental, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dan penyerang lincah, Muhammad Aliff Izwan Yuslan yang tidak tersenarai dalam 25 pemain pilihan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.

Turut menjadi tanda tanya, penyerang Harimau Muda, Fergus Tierney, juga diketepikan daripada skuad kali ini walaupun namanya sering disebut sebagai aset penting di jentera serangan.

Bagaimanapun, Nafuzi masih mengekalkan beberapa tonggak utama seperti pertahanan kental Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri seorang lagi bekas kapten dan penyerang, Haqimi Azim Rosli serta penggerak tengah kreatif, Ziad El Basheer Norhisham.

Di posisi terakhir, ketiga-tiga penjaga gol yang beraksi di Piala ASEAN B-23 di Jakarta bulan lalu terus diberi kepercayaan iaitu Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dan Zulhilmi Sharani.

Dalam Kelayakan Piala Asia B-23 kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Lubnan, Mongolia dan tuan rumah Thailand.

Anak buah Nafuzi akan memulakan kempen menentang Lubnan pada 3 September, disusuli Mongolia (6 September) dan aksi ‘hidup mati’ menentang Thailand pada 9 September, di mana semua perlawanan itu berlangsung di Stadium True BG.

Format kejohanan hanya memberi tiket ke pusingan akhir di Arab Saudi pada Januari depan kepada 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik, menjadikan setiap perlawanan ibarat final buat skuad muda negara.

Skuad B-23 kebangsaan akan berlepas ke Bangkok, Thailand pada Isni ini bagi sesi latihan pusat di sana sehingga 31 Ogos.

Misi kali ini juga dianggap medan ‘penebusan’ selepas prestasi hambar di Piala ASEAN B-23 bulan lalu yang menyaksikan Malaysia tersingkir awal di peringkat kumpulan.

Rekod sebelum ini membuktikan Harimau Muda mampu melangkah ke pentas besar, termasuk mara ke suku akhir edisi 2018 di China. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN