Selangor mampu bersaing di ACL2 - Kinoshi

Selangor mampu bersaing di ACL2 – Kinoshi

TONGGAK Selangor FC, Faisal Halim cuba melepasi asakan pemain Malaysian University dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam. Selangor mencatat kemenangan 3-1. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi optimis pasukannya mampu melepasi peringkat kumpulan dan mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Katanya, berita baik adalah lawan Gergasi Merah kesemuanya daripada kelab Asia Tenggara (ASEAN) namun itu tidak bermakna ia menjadi laluan mudah untuk pasukannya.

Jurulatih kelahiran Jepun itu mengakui, ketiga-tiga lawan yang bakal dihadapi memiliki kelebihan tersendiri, justeru perkara paling penting adalah mempersiapkan pasukan Gergasi Merah berada di tahap terbaik.

“Lawan kita semuanya daripada Asia Tenggara, jadi kita ada peluang baik untuk berada dalam kedudukan terbaik dalam kumpulan.

“Tetapi tiga pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri. Jadi kita perlu mempersiapkan pasukan sebaik mungkin.

“Sebenarnya, tidak menjadi masalah siapa lawan kita kerana perkara paling penting adalah siapa diri kita dan apa yang kita mampu lakukan ketika bermain,” katanya.

Selangor FC diundi dalam Kumpulan G bersama naib juara Liga Thai 1, Bangkok United selain dijadualkan bertemu juara Liga Singapura yang juga naib juara ACL 2 musim lalu Lion City Sailors FC.

Melengkapkan Kumpulan G adalah juara Liga 1, Persib Bandung sekali gus menyaksikan empat wakil kelab Asia Tenggara dikumpulkan dalam satu kumpulan pada edisi kali ini.

Untuk rekod, musim lalu skuad Merah Kuning terkandas di peringkat Kumpulan H ACL2 apabila gagal mengatasi dua pasukan teratas, Jeonbuk Hyundai dan Muangthong United.

Saingan peringkat kumpulan ACL2 akan bermula pada 16 September depan dengan dua kelab terbaik bakal lolos ke peringkat kalah mati. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×