Selangor ada ‘ramuan’ berdepan Buriram

Selangor ada ‘ramuan’ berdepan Buriram

KATSUHITO KINOSHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehadiran lima pemain berpengalaman dalam saingan Liga Thailand memberi kelebihan buat Selangor FC untuk merangka strategi lebih mantap menjelang aksi sulung Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang juara bertahan, Buriram United di Stadium Buriram, malam ini.

Selain Willian Lira dan Alvin Fortes, skuad Gergasi Merah turut diperkuatkan dengan dua bekas bintang skuad kebangsaan Thailand, Kevin Deeromram serta Picha Autra, selain penyerang import, Chrigor Moraes yang pernah menyarung jersi Thunder Castle.

Deeromram sebelum ini menegaskan, saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Thailand memiliki tahap kompetitif yang hampir sama sekali gus mengurangkan kelebihan yang dimiliki pasukan lawan.

“Liga M agak bagus dan hampir sama dengan di Thailand. Pertandingan ini juga melibatkan ramai pemain berkualiti. Sebagai rakan sepasukan, kami sentiasa berkomunikasi dan saling membantu antara satu sama lain,” kata Deeromram.

Setakat ini, Selangor sudah mengharungi tiga perlawanan rasmi musim ini dengan rekod dibolosi empat gol termasuk kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Sumbangsih serta satu jaringan yang sepatutnya dapat dielakkan ketika menewaskan Malaysian University dalam aksi pertama pusingan 16 Piala FA.

Melihat kepada situasi itu, tumpuan utama pengendali Katsuhito Kinoshi dijangka lebih terarah kepada memperkukuh benteng pertahanan bagi mengekang ancaman Buriram yang terkenal dengan serangan berkualiti.

“Kami sentiasa menilai kelemahan dan kesilapan dalam pasukan kerana itu adalah sebahagian daripada bola sepak. Sebagai satu pasukan, pasti ada ruang untuk penambahbaikan,” ujar Kinoshi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×