Phelps, Lochte ‘semadikan’ renang AS

Phelps, Lochte ‘semadikan’ renang AS

MICHAEL PHELPS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Dua legenda Olimpik, Michael Phelps dan Ryan Lochte tidak menyembunyikan rasa kecewa terhadap prestasi hambar skuad renang Amerika Syarikat (AS) di Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura apabila memuat naik imej ala pengebumian dalam media sosial.

Lochte mencetus sensasi selepas memuat naik gambar batu nisan bertulis ‘Selamat tinggal renang Amerika Syarikat 1980–2025’ dengan kapsyen sinis, “Panggil saja majlis pengebumian atau permulaan baru. Kita ada tiga tahun.”

Phelps pula menyokong sindiran itu dengan berkongsi hantaran sama sambil menulis: “Adakah ini amaran yang AS perlukan? Kita akan lihat.”

Sindiran dua perenang paling berjaya dalam sejarah Olimpik itu berlaku selepas skuad AS sekadar meraih lima emas dalam tujuh hari pertama kejohanan, meskipun jumlah keseluruhan 20 pingat mereka lebih baik daripada Australia.

Kem AS ke Singapura dengan harapan menguji barisan pelapis menjelang Olimpik Los Angeles 2028, namun segala perancangan tergendala apabila majoriti atlet mereka dijangkiti masalah pada perut di kem latihan awal.

Walaupun masih berpeluang menjadi juara keseluruhan, perbezaan dominasi nyata berbanding era kegemilangan sebelum ini menjadi tanda tanya besar terhadap hala tuju skuad renang AS.

Juara 200m kuak dada wanita, Kate Douglass mengakui bahawa ini merupakan minggu yang sangat sukar buat kem renang AS di Singapura.

“Ia minggu yang sukar, tapi kami bangkit dan membuktikan kami tetap datang untuk berlumba.

“Kami bukan sempurna, tapi semangat berpasukan yang kami tunjuk sepanjang minggu ini cukup membanggakan,” katanya.

Kritikan terbuka daripada ikon seperti Phelps dan Lochte pasti memberi tekanan kepada AS untuk merombak struktur sebelum maruah negara terus tenggelam di kolam dunia. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN