KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto mahu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menampilkan karakter lebih kental jika mahu bergelar juara dunia di Paris pada hujung bulan ini.
Nova berkata, prestasi kedua-duanya tahun ini agak merosot berbanding musim lalu kerana mereka masih belum menjuarai sebarang kejohanan meskipun peluang lebih terbuka.
Katanya, masalah teknikal bukan penghalang utama, sebaliknya kedua-dua pemain gagal mengatasi tekanan apabila permainan tidak berada pada tahap terbaik.
“Mental mereka kurang kental. Karakter juga kurang. Mereka harus meningkatkan (karakter) untuk mahu menjadi juara, apatah lagi dalam kejohanan besar.
“Dalam senarai empat pasangan terbaik, yang membezakan mereka hanya pada karakter. Mereka (pasangan lain) sangat kuat untuk juara.
“Bukan Tang Jie-Ee Wei tidak boleh juara juara tetapi masanya belum sampai,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.
Jurulatih kelahiran Indonesia itu mahu Tan Jie-Ee Wei segera mempamerkan karakter mantap ketika berdepan detik sukar kerana pemain bertaraf dunia juga tidak sentiasa berada pada prestasi puncak.
Menyentuh peluang di Paris, Nova meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir memandangkan mereka mendapat laluan lebih baik hasil status selaku pilihan keempat.
“Kalau lihat status pilihan keempat mereka seharusnya minimum mendapat medal iaitu mara ke separuh akhir. Mudah-mudahan nasib (baik) kita di Kejohanan Dunia ini,” katanya.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua mereka ke Kejohanan Dunia dengan edisi 2023 lalu, pasangan No. 4 dunia itu mara ke separuh akhir di Denmark. – UTUSAN










