SINGAPURA: Jaguh renang Perancis, Leon Marchand mengakui emosinya terlalu memuncak selepas memecahkan rekod dunia sehingga sukar tidur malam dan kehabisan tenaga selepas final acara 200 meter (m) rampaian individu, kelmarin.
Beliau meraih pingat emas dengan catatan rekod dunia 1 minit 53.68 saat (s), kurang sehari selepas merakam rekod dunia baharu 1:52.69 pada aksi separuh akhir sebelum itu.
“Saya terlalu teruja semalam sampai tak boleh tidur. Saya rasa banyak tenaga hilang malam tadi.
“Tapi memang itu sasaran saya, untuk pecah rekod. Jadi saya gembira sangat dengan kejayaan itu,” kata Marchand.
Walaupun hanya mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah untuk menang final, prestasi Marchand tetap mengukuhkan statusnya sebagai kuasa baharu renang lelaki dunia.
Di sebalik keletihan, Marchand tidak berganjak daripada jadual padat apabila akan turun sekali lagi dalam acara 400m kuak rampaian pada Ahad ini.
Dalam pada itu, perenang remaja sensasi Kanada, Summer McIntosh berkata kekecewaan nyata lebih terpancar berbanding kegembiraan walaupun merangkul emas ketiganya.
Catatan 2:01.99s dalam 200m kuak kupu-kupu menjadikan McIntosh hanya 0.18s daripada memadam rekod dunia, sekali gus gagal mencapai sasarannya.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan masa dan catatan terbaik peribadi, tapi saya tak capai sasaran saya malam ini (kelmarin),” katanya. – AGENSI/UTUSAN







