PETALING JAYA: Kemenangan penuh dramatik pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh di separuh akhir Terbuka Macau 2025, semalam bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu refleksi keteguhan jiwa anak muda itu di gelanggang.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen, pemain berusia 21 tahun itu akhirnya menuai hasil daripada kerja keras dan dedikasi yang selama ini ditunjukkan.
“Saya sangat gembira melihat Justin kekal fokus dan komited pada detik-detik penting perlawanan ini.
“Dia menunjukkan komitmen yang saya tahu dia miliki, dan pujian juga kepada jurulatih, K. Yogendran yang membimbingnya dengan baik di saat-saat sukar,” kata Jonassen kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, Justin bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain India, Tharun Mannepalli 19-21, 21-16, 21-16 dalam masa 81 minit di Dewan Sukan Asia Timur Macau.
Kejayaan itu membolehkan Justin mara ke pentas final sulungnya di Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan berpeluang mencipta sejarah sebagai perseorangan lelaki pertama negara menjulang gelaran tersebut sejak Lee Zii Jia pada 2024 di Australia.
Bagaimanapun, Jonassen mengakui misi lebih mencabar menanti anak buahnya apabila turun selaku bukan pilihan menentang Lakshya Sen atau Alwi Farhan di pentas akhir, hari ini.
Namun beliau percaya tiada yang mustahil selagi Justin terus kekal tenang dan yakin dengan kebolehannya sendiri.
“Ini adalah pertarungan final yang pertama buatnya pada peringkat ini. Lawan beliau sangat mencabar dan dia kekal sebagai ‘underdog’,” katanya. – UTUSAN










