KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao enggan menjadi pelengkap jadual pada penampilan sulung padai Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis yang akan membuka tirai dari 25 hingga 31 Ogos ini.
Pemain yang menghuni ranking ke-25 dunia itu mahu bertahan lama di Arena Porte de la Chapelle sekali gus membuktikan dirinya mampu mencabar kelompok terbaik dunia.
“Memang teruja sebab kali pertama buat saya beraksi di kejohanan besar seperti ini. Sasaran saya adalah ambil satu demi satu perlawanan dan buat yang terbaik dalam setiap aksi.
“Sesiapa pun ada peluang. Saya harap dapat mencipta kejutan demi kejutan dalam satu kejohanan, bukan sekadar sekali-sekala.
“Setiap perlawanan adalah cabaran baharu dan saya akan cuba lakukan sesuatu yang berbeza untuk menang,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Jun Hao yang selesa memikul status ‘underdog’ tidak melihat kedudukannya sebagai kelemahan, sebaliknya sebagai peluang untuk mengejutkan lawan yang lebih berpengalaman.
Meskipun musim ini agak berombak dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir Terbuka Singapura, dia sudah membuktikan kemampuan menumbangkan jaguh seperti Jonatan Christie, Kodai Naraoka dan Kenta Nishimoto.
Bagi memastikan persiapan rapi, Jun Hao akan berlepas ke Denmark pada Sabtu ini untuk menjalani latihan lima hari bersama skuad kebangsaan negara itu sebelum bertolak ke Paris.
“Ini kali pertama kami buat persediaan seperti ini. Jurulatih kami dari Denmark dan mempunyai hubungan baik dengan mereka, jadi ia satu inisiatif yang bagus.
“Walaupun saya tidak pasti siapa yang ada di sana nanti, tapi berlatih bersama pasukan kebangsaan Denmark pasti beri pengalaman berbeza,” jelasnya.
Selain Jun Hao, cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki turut digalas pemain profesional, Lee Zii Jia yang diharap mampu menamatkan kemarau pingat sejak kali terakhir Datuk Lee Chong Wei meraih perak pada 2015 di Jakarta. – UTUSAN











