PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi memuji semangat juang anak buahnya ketika hampir mengejutkan juara bertahan, Buriram United dalam aksi sulung Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), kelmarin.
Jelasnya, keputusan 1-1 tetap dianggap adil buat pasukannya meskipun gol penyamaan Buriram hadir pada minit ke-95 dengan menekankan masih banyak aspek yang perlu diperkemaskan terutama daripada segi intensiti latihan dan disiplin taktikal.
“Saya gembira dengan apa ditunjukkan pemain pada babak pertama tetapi kini saya sedar kami perlu latihan lebih keras untuk perlawanan akan datang.
“Bertemu Buriram yang memiliki ramai pemain berkualiti, kami berjaya mendahului sehingga minit ke-95. Itu membuktikan kami ada kekuatan dan keyakinan, tetapi belum cukup untuk meraih kemenangan,” katanya selepas perlawanan.
Pada aksi di Stadium Buriram, skuad Gergasi Merah terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila rembatan deras penyerang import, Chigor Moraes pada minit ke-38 berjaya meletakkan Selangor di depan namun kegembiraan itu terhenti di penghujung perlawanan apabila Robert Zulj menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-95 hasil sepakan sudut.
Kinoshi menegaskan, Selangor perlu lebih kolektif serta mengekalkan disiplin sepanjang 90 minit.
“Keputusan seri ini memberi kami pengajaran berguna. Kami harus lebih kuat, bekerja keras sebagai satu pasukan dan menjalani latihan dengan lebih keras supaya mampu bersaing dengan kelab gergasi serantau,” ujarnya.
Ketua jurulatih dari Jepun itu, turut merakam penghargaan kepada penyokong setia Selangor yang hadir ke stadium mahupun yang menyokong dari tanah air.
“Saya mohon maaf kerana tidak mampu menghadiahkan tiga mata, tetapi keputusan seri menentang pasukan sekuat Buriram tetap memberi harapan.
“Teruskan sokongan anda, kerana kami akan terus berjuang bukan sahaja di ACC, tetapi juga dalam saingan Liga Super dan ACL2,” jelasnya. – UTUSAN










