Ahli gabungan FAM kenapa 'membisu'?

Ahli gabungan FAM kenapa ‘membisu’?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang membisu dalam isu peletakan jawatan Mohd. Joehari Mohd. Ayub selaku presiden badan induk itu menjadi persoalan besar ketika ini.

Sebelum ini, ahli gabungan memberikan ‘kuasa’ hingga menyaksikan Mohd. Joehari dilantik mengisi kerusi panas itu selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM untuk penggal 2025-2029, Februari lalu.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, ahli gabungan sepatutnya bersuara tentang peletakan jawatan ini kerana Mohd. Joehari adalah pilihan mereka pada pemilihan badan induk itu.

“Dulu diberi kepercayaan menang tanpa bertanding tetapi persoalannya adakah kali ini ia turut mendapat restu (ahli gabungan). Seolah-olah ahli gabungan sudah jangka tetapi tetap beri mandat itu.

“Tidak boleh terjadi seperti ini dalam persatuan sukan kebangsaan, lagi-lagi bola sepak yang semua orang mengharapkan FAM diurus tadbir secara telus. Kita kena pandang serius, menteri pun kena tengok dan tidak boleh biarkan ia terjadi.

“Mana suara ahli gabungan sekarang? Kalau mereka tahu (peletakkan jawatan akan berlaku) dan bersubahat dengan semua ini, mereka pun tidak bertanggungjawab,” katanya yang mengakui isu ini beri imej tidak baik kepada FAM.

Mohd. Joehari dilaporkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan Jumaat lalu dan dikhabarkan bilik presiden di Wisma FAM di Kelana Jaya juga sudah dikosongkan mulai kelmarin.

Biarpun tiada pengesahan rasmi, tindakan FAM yang terus berdiam diri menguatkan lagi spekulasi berkenaan dan difahamkan, kedudukan Mohd. Joehari akan diumumkan pada hari ini.

Mesyuarat jawatankuasa eksekutif FAM kan berlangsung hari ini dengan peletakan jawatan Mohd. Joehari menjadi agenda utama selain pemilihan individu yang bakal memangku tugas presiden.

Mohd. Joehari menerajui FAM sejak Februari lalu selepas menang tanpa bertanding dalam kongres pemilihan FAM penggal 2025-2029, beliau menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin yang tidak mempertahankan jawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN