PETALING JAYA: Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) meletakkan sandaran kepada lima atlet negara dalam Kejohanan Angkat Berat Komanwel di Ahmedabad, India dari 24 hingga 30 Ogos ini.
Kejohanan tersebut menawarkan slot automatik ke Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland malah ia turut menggunakan kategori baharu seperti yang ditetapkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Lima atlet negara iaitu Mohamad Aniq Kasdan akan beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) diikuti Muhamad Aznil Bidin 65kg, Muhammad Erry Hidayat 79kg, Muhammad Hafizuddin Roslin 88kg dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali 94kg
Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, badan induk itu berharap agar kelima-lima atlet tersebut dapat meloloskan diri untuk ke Sukan Komanwel tahun hadapan.
“Namun, kali ini Aniq masih lagi belum pulih daripada kecederaan yang dialami di China dan masih dalam pemulihan.
“Dia tetap akan dibawa ke India dan kita akan dapatkan nasihat daripada doktor dan ISN (Institut Sukan Negara) untuk dihadkan jumlah angkatannya,” kata Ayub.
Aniq mendapat kecederaan bahu ketika beraksi pada Kejohanan Asia di China, Mei lalu yang menyaksikannya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam acara snatch namun gagal menaiki podium. – UTUSAN










