PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan segala prosedur pendaftaran pemain warisan Harimau Malaya telah dipatuhi sepenuhnya mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, tidak timbul dakwaan Malaysia menggunakan pemain warisan secara tidak sah atau badan induk bola sepak negara akan dikenakan tindakan tegas oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Sumber FAM berkata, kelima-lima pemain warisan baharu yang dipanggil menyertai skuad Harimau Malaya telah melalui proses tapisan ketat dan mendapat kelulusan daripada FIFA sendiri.
“Sebelum aksi menentang Vietnam (aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun), kita sudah dapat kelulusan dan pengesahan daripada FIFA yang mengatakan lima pemain warisan dapat diturunkan.
“Jadi tidak timbul kata skuad kebangsaan akan digantung atau sebagainya, ini semua tidak betul,” kata sumber ketika ditanya tentang dakwaan Harimau Malaya bakal digantung oleh badan induk bola sepak dunia.
Sebelum ini, Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub berkata, status dan susur galur pemain warisan Harimau Malaya tidak sepatutnya diperdebatkan memandangkan mereka telah mendapat kelulusan FIFA.
“Semua pemain warisan yang ada sudah diperiksa oleh FIFA dan FIFA adalah satu badan yang tegas dalam semua perkara. Jadi semuanya sudah disemak dan FAM hanya ikut prosedur serta arahan yang ditetapkan.
“Tiada masalah untuk kami dedahkan atau tidak. Namun, FIFA pun sudah semak dan kami mengikut sahaja keputusan daripada FIFA,” katanya.
Pada aksi menentang Vietnam pada kelayakan Piala Asia 2027, Harimau Malaya menggunakan khidmat Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado selepas mendapat kelulusan daripada FIFA.
Selain itu kata Sumber, Joehari FAM sentiasa mengutamakan ketelusan dan tidak mengambil mudah mengenai soal pemilihan pemain, terutama yang membabitkan kelayakan dari segi undang-undang dan peraturan antarabangsa. – UTUSAN










