PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki utama negara, Leong Jun Hao bakal memulakan fasa ‘naik taraf’ menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Paris apabila diberi tiga minggu untuk menggilap semula prestasinya selepas tersingkir awal dalam Terbuka China, Khamis lalu.
Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen mengesahkan pelan intensif pemain itu bermula minggu ini dengan fokus utama membaiki kelemahan taktikal dan mentaliti di gelanggang.
“Saya sudah mendapat jawapan daripada dua kejohanan ini, jadi bermula hujung minggu ini kerja keras akan bermula dan saya sangat teruja.
“Dalam tempoh tiga minggu akan datang, mungkin akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai apa yang perlu diperbaiki sebelum ke Perancis,” kata Jonassen.
Pemain berusia 26 tahun itu terkandas di pusingan kedua Terbuka China selepas tewas kepada pemain No.1 dunia, Kunlavut Vitidsarn 21-23, 7-21, meskipun memberi tentangan sengit pada set pertama.
Situasi ketika mendahului 19-17 dalam set pembukaan dianggap titik penting yang gagal dimanfaatkan oleh pemain negara itu.
Jonassen berkata kekalahan tersebut perlu dijadikan pengajaran terbaik buat Jun Hao yang bakal membuat penampilan sulung di Kejohanan Dunia.
Beliau turut menegaskan aspek mental perlu ditambah baik, selain memperkemaskan corak permainan sedia ada untuk menyaingi pemain bertaraf elit.
“Memang agak sedih kerana tidak dapat mencatat kemenangan tetapi saya anggap kita berada di landasan yang tepat,” katanya.
Jun Hao dijangka menyertai beberapa siri latihan simulasi menjelang kejuaraan dunia yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 31 Ogos ini. – UTUSAN










