Tebus maruah di Kejohanan Dunia

Tebus maruah di Kejohanan Dunia

Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas kepada pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri pada perlawanan akhir Terbuka China, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas kekalahan mengecewakan di final Terbuka China, pasangan beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini memikul misi lebih besar iaitu memburu kejuaraan dunia kedua di Paris, Perancis pada 25 Ogos hingga 1 September ini.

Gagal lagi meraih gelaran Super 1000 buat kali keenam bukan sahaja menyakitkan, malah membuka persoalan tentang kemampuan sebenar mereka menjelang pentas paling berprestij dalam kalender badminton itu.

Aaron berkata fokus utama kini adalah persiapan terbaik ke Kejohanan Dunia di Adidas Arena, Paris.

“Memang sedih tewas hari ini, tapi kami tak mahu terlalu fikir kekalahan ini kerana sasaran sebenar adalah Kejohanan Dunia.

“Kita akan guna minggu-minggu terakhir ini untuk betul-betul bersedia. Rehat sekejap, lepas tu tumpu 100 peratus pada persiapan ke Paris,” kata Aaron.

Dalam perlawanan akhir kelmarin, mereka tewas kepada pasangan ‘scratch pair’ Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri yang baharu digandingkan sejak Terbuka Jepun dua minggu lalu.

Kekalahan itu menyaksikan gandingan No.2 dunia itu terlepas menjadi naib juara buat keenam kalinya pada kejohanan berstatus Super 1000 selepas All England 2019 dan 2024, Terbuka Thailand 2020, Terbuka China 2023 serta Terbuka Indonesia 2023

Dalam pada itu, Wooi Yik menegaskan mereka tidak mahu dibebani tekanan luar, sebaliknya mahu kekal fokus kepada apa yang mampu dikawal menjelang kejohanan berprestij itu.

“Kami tahu ramai letak harapan tapi kami dah lalui tekanan tu sejak beberapa tahun lalu. Sekarang kami lebih percaya pada rentak dan latihan sendiri.

“Kami cuma perlu kekalkan momentumnya dan jangan fikir sangat pasal siapa lawan atau siapa pilihan, sebab di Kejohanan Dunia, semua bermula dari kosong,” kata Wooi Yik.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik merangkul gelaran Kejuaraan Dunia pada edisi 2022 selepas menewaskan pasangan legenda Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan di Tokyo, Jepun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN