PETALING JAYA: Detik cemas pada set pertama dijadikan pengajaran buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjelang aksi suku akhir Terbuka China menentang pasangan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui, hari ini.
Selepas hampir terjerat dalam perangkap gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying semalam, mereka tekad untuk tidak mengulangi permulaan perlahan yang hampir memakan diri.
Menurut Tang Jie, perubahan taktikal selepas mata ke-11 pada set pertama menjadi titik kebangkitan yang menyelamatkan maruah selaku pilihan keempat kejohanan selepas mencatat kemenangan 22-20, 21-17.
“Kami bermula agak perlahan dan memang lawan main lebih baik daripada kami, tapi kami gembira sebab berjaya bangkit pada saat genting.
“Dalam set pertama, arah angin menyebelahi kami, jadi kami tak berani angkat bulu tangkis tinggi dan itu buat mereka lebih agresif di jaring,” kata Tang Jie.
Dalam pada itu, Tang Jie mengakui prestasi minggu ini belum sempurna, namun mereka menghargai setiap kemenangan yang diraih sebagai pemangkin semangat.
Beliau bersama Ee Wei sedar ujian sebenar menanti hari ini apabila berdepan lawan yang mengejutkan pasangan sensasi Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dan mereka enggan terbawa-bawa dengan kesilapan semalam.
“Kami masih menang dan itu sudah cukup buat kami teruskan momentum,” katanya. – UTUSAN







