PETALING JAYA: Atlet angkat berat wanita negara, Nurul Syasya Khairina Samsur menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia dalam acara clean & jerk kategori wanita 63 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Remaja Asia 2025 di Kazakhstan, semalam.
Syasya, yang pertama kali membuat penampilan di pentas kejohanan Asia, melakukan angkatan 99 kilogram, sekali gus mengesahkan kedudukan ketiga di belakang pemenang pingat emas dari Korea Selatan, Dayeon Lee (108kg) dan tuan rumah Kazakhstan, Kupaysinova Sarvinoz (100kg) yang memenangi pingat perak.
Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat ketika mengulas pencapaian itu berkata, kejayaan Syasya meraih gangsa merupakan permulaan yang positif dalam karier antarabangsa bagi atlet berusia 16 tahun itu.
“Kita ucapkan tahniah atas penampilan pertama Syasya di peringkat Asia. Untuk acara clean & jerk, dia berjaya membawa pulang gangsa, satu pencapaian membanggakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masih banyak ruang untuk penambahbaikan terutama dalam jumlah angkatan keseluruhan (total lift), yang menyaksikan Syasya sekadar menamatkan saingan di tempat keempat.
“Perjalanan masih jauh. Kalau kita mahu bersaing di peringkat lebih tinggi, Syasya perlu bekerja lebih keras dan konsisten,” katanya.
Pencapaian Syasya memberi harapan baharu kepada kem angkat berat negara, khususnya dalam melahirkan generasi pelapis yang mampu menggalas cabaran di pentas dunia. – UTUSAN










