PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain, yakin anak buahnya mampu mencapai tahap kecergasan dan intensiti setaraf antarabangsa menjelang aksi sulung Piala AFF B-23 di Jakarta, Indonesia Selasa ini.
Beliau mengakui cabaran di peringkat antarabangsa jauh lebih kompetitif dan menuntut tahap kecergasan tinggi, Nafuzi tetap optimis barisan mudanya akan bersedia tepat pada masanya.
“Kita tahu intensiti perlawanan di peringkat antarabangsa amat berbeza. Persiapan kita juga tidak panjang, jadi perlawanan persahabatan seperti menentang Melaka FC penting untuk meningkatkan kecergasan pemain,” katanya.
Kata bekas pengendali Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC itu, tempoh rehat panjang liga domestik semestinya memberi kesan terhadap tahap kecergasan pemain.
“Aksi terakhir mereka bersama kelab berlangsung pada Mei lalu, jadi hampir dua bulan mereka tidak beraksi kompetitif.
“Itu sebabnya kami perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan beban latihan untuk tingkatkan kecergasan tanpa menambah risiko kecederaan,” jelasnya.
Skuad muda negara ketika ini berada dalam fasa akhir persiapan, dengan berjaya merekodkan dua kemenangan dalam aksi persahabatan, menewaskan PDRM FC 1-0 dan Melaka FC 4-1 sebelum menutup siri pemanas badan menentang Negeri Sembilan FC hari ini.
Pada saingan Piala ASEAN B-23 nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei.
Ketika ditanya mengenai keadaan pemain, Nafuzi mengakui empat pemain utama iaitu Haqimi Azim Rosli, Shafizan Arshad, Fakrul Haikal dan G Pavithran mengalami kecederaan ringan.
“Ketika ini kita ada 30 pemain dalam senarai. Beberapa pemain mengalami kecederaan ringan dan kita masih perlukan mereka dalam latihan serta operasi taktikal,” ujar Nafuzi yang bakal mengurangkan senarai kepada 24 pemain sebelum bertolak ke Jakarta hujung minggu ini. – UTUSAN










