Rashford korban gaji, bina nama di Barcelona

Rashford korban gaji, bina nama di Barcelona

Marcus Rashford
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Marcus Rashford sanggup menerima potongan gaji 15 peratus bagi merealisasikan perpindahan secara pinjaman ke Barcelona pada jendela perpindahan musim panas ini.

Juara La Liga itu menjadikan Rashford, yang kini tersisih dalam perancangan Manchester United, sebagai sasaran utama selepas usaha mendapatkan Luis Diaz dari Liverpool dan Nico Williams dari Athletic Bilbao tidak membuahkan hasil.

Fleksibiliti Rashford sebagai penyerang sayap atau penyerang tengah menjadikannya pilihan ideal dalam perancangan taktikal pasukan.

Rashford dilihat tiba di Lapangan Terbang El Prat, Barcelona semalam, ketika rundingan dikatakan hampir mencapai kata sepakat.

Difahamkan, dia bersetuju memotong gajinya daripada 315,000 pound (RM1.79 juta) seminggu bagi membolehkan Barcelona mematuhi peraturan kewangan La Liga.

Rashford bagaimanapun mungkin perlu menunggu sebelum dapat didaftarkan secara rasmi kerana Barcelona masih dibelenggu isu kewangan kronik.

Kelab itu dijadual mengadakan jelajah pramusim ke Asia minggu ini dan pendaftaran rasmi dijangka hanya akan berlaku selepas itu.

Barcelona sebelum ini pernah berdepan isu pendaftaran pemain termasuk kes Dani Olmo musim lalu yang terpaksa menunggu tiga perlawanan sebelum diberikan kelulusan oleh La Liga dan masalah ini terus membayangi kelab Catalan itu dari musim ke musim.

Kini, perpindahan Rashford disahkan sebagai pinjaman semusim tanpa klausa pembelian wajib.

Menurut media Sepanyol, Rashford ditawarkan beberapa nombor jersi yang masih belum digunakan, antaranya 14, 19 dan 22.

Nombor 14 pernah dipakai legenda Johan Cruyff dan Thierry Henry; nombor 19 pula baru dikosongkan oleh Lamine Yamal, manakala nombor 22 dikaitkan dengan Rashford ketika kemunculan awalnya bersama skuad England. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN