PKBM muktamad pasukan Sukan SEA esok

PKBM muktamad pasukan Sukan SEA esok

Amarjit Singh Gill
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan satu mesyuarat khas bersama pihak berkepentingan akan diadakan esok bagi membincangkan isu pemilihan atlet basikal lebuh raya dan sasaran pingat ke Sukan SEA Thailand 2025.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill, berkata, Jawatankuasa Pemilihan PKBM bakal bermesyuarat bagi menyelesaikan kemelut pemilihan atlet berbasikal lebuh raya ke Sukan SEA serta memuktamadkan senarai pendek pelumba yang akan membawa cabaran negara ke temasya dwitahunan itu.

“Kami akan cuba menyelesaikan isu ini sebaik mungkin. Senarai nama akan disaring dan diputuskan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan.

“Sasaran pingat untuk Sukan SEA juga akan dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kemelut pemilihan atlet berbasikal lebuh raya ke Sukan SEA semakin memuncak apabila pasukan profesional Terengganu Cycling Team (TSG) memberi bayangan untuk menarik diri dari Sukan SEA sekiranya permintaan dana mereka tidak dipenuhi.

Difahamkan, pasukan itu memerlukan kira-kira RM250,000 untuk melaksanakan persiapan rapi ke temasya berkenaan, namun mendakwa tiada komitmen diberikan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) selepas satu pertemuan awal bulan ini.

MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan berjumlah RM196,000 yang kini berada dalam simpanan PKBM, namun dianggap tidak mencukupi mengikut kos semasa.

Situasi itu turut menimbulkan keresahan dalam kalangan pelumba dan pihak pengurusan yang risau prestasi atlet negara bakal terjejas jika isu peruntukan tidak ditangani segera.

Bagaimanapun, PKBM yakin jalan penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat menerusi perbincangan bersama semua pihak berkepentingan termasuk MSN, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta pihak pengurusan pasukan.

Sebelum ini juga, Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit mendedahkan MSN menolak permintaan pasukan profesional itu untuk pembelian basikal ujian masa baharu yang berharga RM80,000 seunit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN