LONDON: Pelumba McLaren, Oscar Piastri enggan ambil pusing spekulasi masa depan juara dunia empat kali, Max Verstappen bersama Mercedes yang dikatakan mampu menjejaskan fokus pesaing terdekatnya itu.
Walaupun kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan 69 mata ke atas Verstappen, Piastri tetap menjangkakan bintang Red Bull itu kekal sebagai ancaman.
Piastri yang juga pendahulu kejuaraan dunia pemandu 2025 berkata, dia hanya fokus pada prestasi sendiri dan tidak terganggu dengan kekalutan luar trek.
“Saya rasa dia akan jadi ancaman setiap hujung minggu, atau kebanyakannya. Sebab itu anda tak boleh tolak ke tepi terus.
“Saya tak kisah sangat di mana kedudukan Verstappen dalam kejuaraan. Walaupun dia ketinggalan agak jauh, saya tidak terlalu risau,” kata Piastri.
Dalam pada itu, Verstappen mengakui peluangnya untuk mempertahankan kejuaraan agak samar susulan prestasi merudum Red Bull musim ini.
“Itulah Formula Satu (F1). Kalau semua tahu apa yang perlu dibuat, semua akan menang perlumbaan. Tapi malangnya bukan begitu.
“Kami sedang cuba sedaya upaya cari semula prestasi, tapi mungkin tidak akan sampai tahap McLaren. Itulah turun naik dalam F1,” kata Verstappen. – AGENSI/UTUSAN










