PETALING JAYA: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya menamatkan badi tujuh kekalahan berturut-turut ke atas gandingan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida sejak Terbuka Perancis 2022 untuk mara ke final Terbuka Jepun 2025, semalam.
Kemenangan itu juga hanya yang kedua buat pasangan No.3 dunia dalam 15 pertemuan menentang beregu No. 2 dunia berkenaan.
Lebih manis, kejayaan ini hadir hanya seminggu selepas mereka akhirnya bersetuju menamatkan kemelut enam bulan bermain tanpa kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak hujung tahun lalu.
Menurut Thinaah, rahsia kemenangan mereka bukan hanya terletak pada strategi permainan tetapi juga semangat sepasukan yang tidak pernah luntur sepanjang perlawanan.
“Kami tak fikir langsung tentang mata, kami cuma saling sokong dan kekal fokus dari satu mata ke satu mata.
“Itulah yang paling penting untuk kami hari ini (semalam), dan itu juga yang membawa kemenangan ini,” kata Thinaah.
Menurut Pearly pula, persefahaman dan kesabaran menjadi senjata utama mereka untuk menumbangkan gandingan yang selama ini jadi ‘mimpi ngeri’ mereka.
“Hari ini kami lebih sabar, lebih percaya pada permainan sendiri dan tidak terburu-buru buru mata, itu sangat membantu kami,” kata Pearly.
Ini merupakan penampilan final keempat mereka musim ini dan berkemungkinan menjadi gelaran Super 750 mereka yang kedua selepas Terbuka Perancis 2022, namun kali ini lebih istimewa kerana berlaku di ‘kubu’ lawan yang sebelum ini sukar ditawan.
Pearly-Thinaah seterusnya akan berdepan cabaran getir menentang pasangan No. 1 dunia yang juga juara bertahan dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning bagi merebut gelaran Terbuka Jepun, hari ini.
Sementara itu, nasib berbeza menimpa beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila kecundang di tangan juara bertahan dari China.
Tang Jie-Ee Wei tunduk 12-21, 16-21 kepada Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin selepas Ee Wei mengalami kecederaan ringan akibat berlaga raket ketika set kedua. – UTUSAN









