LONDON: Bekas bintang bola sepak England, Paul Gascoigne dikejarkan ke hospital, Jumaat lepas selepas rebah di rumah.
Menurut laporan The Sun, Gascoigne yang lebih dikenali sebagai Gazza ditemui separuh sedar oleh seorang rakannya dalam bilik tidur rumahnya di Poole, Dorset.
Bekas pemain berusia 58 tahun itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), namun para peminat boleh menarik nafas lega apabila dia telah dipindahkan ke unit perubatan akut dan berada dalam keadaan ‘stabil’.
Rakannya, Steve Foster yang menemuinya mengeluarkan kenyataan ringkas bagi pihak Gascoigne.
“Gazza ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan yang diterimanya setakat ini daripada ramai rakan lama yang mendoakannya dan ingin melihat dia kembali sihat seperti dahulu,” katanya.
Legenda England itu dilaporkan ‘tidak lagi dalam keadaan bahaya’ menjelang Sabtu lalu dan dijangka meneruskan proses pemulihan di hospital selama beberapa hari.
Kesihatan Gascoigne telah lama menjadi kebimbangan umum selepas bertahun-tahun berdepan masalah ketagihan alkohol dan kesihatan mental.
Awal tahun ini, beliau memberikan kemas kini positif kepada The Mirror dan berkata bahawa beliau kini berasa lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Perkahwinan Gascoigne dengan Sheryl, yang berakhir dengan perceraian pada tahun 1998, telah dicemari dengan dakwaan keganasan rumah tangga.
Kerjayanya sebagai pengurus Kettering Town pada 2005 hanya bertahan selama 39 hari, dengan masalah alkohol menjadi faktor utama. – AGENSI/UTUSAN










