PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak berdepan masalah besar untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi musim lalu.
Harimau Selatan akan menentang pendatang baharu Liga A1 Semi-Pro, UM-Damansara United di pusingan 16 iaitu satu pertemuan yang boleh dianggap mudah.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, saingan untuk Harimau Selatan dijangka hadir pada peringkat separuh akhir dengan Terengganu berkemungkinan besar menjadi lawan mereka.
“Untuk Piala FA, undian semalam kita boleh tengok JDT tidak akan berdepan masalah untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lalu.
“Cabaran hanya hadir pada separuh akhir, sebelum itu merek perlu melepasi suku akhir dengan Sabah dilihat sebagai lawan pilihan mereka di peringkat itu.
“Dengan reputasi JDT, mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk ke final dan lawan mereka di final yang menjadi pilihan saya ialah Selangor FC.
“Jika perkara ini menjadi realiti, pastinya final yang dinanti-nantikan kedua-dua pihak bagi membuktikan pasukan mana yang lebih layak bergelar juara Piala FA,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Turut mencuri perhatian dalam undian semalam ialah pertemuan tetangga Borneo yang menemukan pasukan berpangkalan di Brunei iaitu DPMM FC menentang Kuching City FC iyang dijangka menjadi ‘derby panas’.
Selangor FC dijadual melayan kunjungan Malaysian University FT (MUFT) dalam satu aksi yang dijangka memberi ruang kepada jurulatih untuk melakukan penggiliran pemain.
Untuk rekod, musim lalu menyaksikan JDT merangkul trofi Piala FA selepas membelasah Selangor FC 6-1 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menambah koleksi kejuaraan mereka di pentas domestik. – UTUSAN










