AUSTRIA: Lewis Hamilton menggesa Ferrari memberi tumpuan pembangunan projek Formula Satu (F1) 2026 sepertimana Mercedes sudahpun melakukannya lebih awal.
Ferrari menunjukkan peningkatan prestasi di Grand Prix (GP) Austria minggu lalu apabila Hamilton dan Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keempat.
Ferrari kini ketinggalan 207 mata di belakang McLaren dalam perebutan kejuaraan pengeluar F1.
“Kalau dibandingkan dengan McLaren, saya rasa tiada siapa boleh mengejar mereka. Tapi jangan pernah kata mustahil. Mudah-mudahan dengan naik taraf seterusnya… harap-harap ia berfungsi seperti yang kami harapkan.
Mungkin itu akan membawa kami lebih dekat. Kami tidaklah seminit ketinggalan hujung minggu lalu,” kata Hamilton.
Tahun 2026 akan menyaksikan perubahan besar dalam peraturan teknikal bagi enjin dan juga casis.
Unit kuasa akan dijalankan menggunakan bahan api lestari dan akan menjadi lebih berasaskan elektrik manakala kereta pula akan mempunyai daya turun yang kurang dan saiz yang sedikit lebih kecil.
“Kita sepatutnya beri tumpuan penuh dalam pembangunan kereta tahun depan. Saya pasti semua pasukan sudah pun melakukan itu. Saya tahu Mercedes sudah pun tumpu kepada tahun depan. Kuncinya ialah membangunkan enjin yang betul,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










