LONDON: Luis Diaz telah menyatakan hasratnya kepada Liverpool untuk berpindah pada musim panas ini, biarpun masih mempunyai kontrak bersama The Reds sehingga 2027.
Bayern Munich menjadi kelab pertama yang mengemukakan tawaran rasmi bagi mendapatkan khidmat pemain sayap Colombia itu, namun sehingga kita tiada kata putus dibuat.
Menurut laporan The Athletic, juara Bundesliga kendalian Vincent Kompany itu menghantar bidaan berjumlah 58.6 juta pound (RM319 juta) Selasa lalu, namun ditolak oleh The Reds.
Liverpool difahamkan hanya bersedia melepaskan Diaz pada harga sekitar 86 juta pound (RM490 juta) dan buat masa ini tidak berhasrat menjual pemain berusia 28 tahun itu.
Bagaimanapun, angka penilaian RM490 juta itu dilaporkan lebih bersifat sebagai persediaan dan pengiraan dalaman kelab, bukan isyarat mereka benar-benar mahu berunding.
Selain Bayern, Barcelona turut berminat mendapatkan khidmat Diaz yang setakat ini sudah memikat beberapa kelab gergasi Eropah lain menjelang jendela perpindahan musim panas.
Diaz menyertai Liverpool dari Porto pada Januari 2022 dengan yuran perpindahan 37.5 juta pound (RM214 juta) dan sejak itu sudah membuat 148 penampilan serta menjaringkan 41 gol.
Musim lalu, Diaz menjadi watak penting membantu skuad kendalian Arne Slot menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila membuat 50 penampilan termasuk 28 aksi sebagai pemain kesebelasan utama. – AGENSI/UTUSAN









