LONDON: Chelsea menambah pilihan di jentera serangannya apabila menandatangani pemain sayap antarabangsa England B-21, Jamie Bynoe-Gittens dari Borussia Dortmund.
The Blues dilaporkan akan membayar yuran awal 48.5 juta pound (RM279 juta) buat pemain berusia 20 tahun itu, dengan tambahan 3.5 juta pound (RM20 juta) sebagai klausa bonus.
Dortmund menandatangani Gittens pada tahun 2022 ketika pemain itu berada di akademi Manchester City.
Dia membuat 107 penampilan bersama kelab gergasi Jerman itu, menjaringkan 17 gol termasuk 12 gol dalam saingan Bundesliga dan Liga Juara-Juara musim lalu.
“Ia satu perasaan yang hebat untuk menyertai kelab besar seperti Chelsea.
“Saya tidak sabar untuk belajar daripada setiap orang dalam pasukan dan mencabar diri saya ke tahap maksimum di sini. Ia memang satu perasaan yang luar biasa,” katanya.
Gittens muncul pemain kelima yang dibawa masuk Chelsea dalam satu lagi musim perpindahan mewah mereka, menyertai penyerang Liam Delap, Joao Pedro dan pemain tengah Dario Essugo serta pertahanan Mamadou Sarr.
Bintang muda Brazil yang sedang meningkat, Estevao Willian, 18, juga akan menyertai kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu dalam perjanjian yang dimeterai tahun lalu, selepas menjaringkan gol menentang Chelsea ketika Palmeiras kalah 1-2 pada suku akhir Piala Dunia Kelab, semalam.
Begitupun, Gittens tidak layak untuk diturunkan pada aksi separuh akhir Chelsea menentang Fluminense pada Selasa ini atau perlawanan akhir sekiranya The Blues mara. – AFP/UTUSAN










