PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi jaminan persiapan skuad lebuh raya ke Sukan SEA Thailand 2025 tidak akan terjejas meskipun berdepan kekangan kewangan.
Setiausaha agungnya, Ahmad Arif Astaman berkata, badan induk itu tidak bergantung kepada satu pihak dalam mendapatkan dana malah PKBM ketika ini sedang giat menggandakan usaha bagi mencari sumber kewangan.
“Kita sedia maklum duit sudah diperuntukkan malah sekarang kita juga sedang mencari dana. MSN (Majlis Sukan Negara) bukan satu-satunya sumber kami sebab PKBM pun ada peranan untuk mencari dana tambahan.
“Bukanlah kita kena bergantung 100 peratus kepada MSN. PKBM masih mencari dana untuk persiapan ke Sukan SEA 2025. Benda boleh diselesaikan, kami ada dana macam nak hantar latihan ke Thailand kita ada dana tapi kita tengah cari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahid berkata, PKBM serta wakil dua pasukan profesional negara iaitu MPC dan Terengganu Cycling Team (TSG) telah mengemukakan permintaan secara lisan dalam satu mesyuarat bersama MSN baru-baru ini, namun ditolak tanpa peluang untuk membentangkan kertas cadangan rasmi.
Sayuti berkata MPC berkemungkinan tidak menghantar pelumba mereka ke temasya di Thailand dan mengulas mengenainya, Arif berkata, mesyuarat jawatankuasa pemilihan akan dibuat dalam masa terdekat.
“Senarai panjang nama atlet daripada kedua-dua pasukan benua itu memang ada. Kita akan buat senarai pendek dan panggil atlet tersebut berdasarkan prestasi semasa.
“Jadi, kalau dia (MPC) tak nak lepaskan pasukan untuk panggilan kebangsaan itu keputusan mereka. Kita tetap akan nama atlet tersebut dan kita tak boleh nak paksa orang,” katanya. – UTUSAN










