PETALING JAYA: Pasukan wusyu remaja negara meneruskan momentum kecemerlangan apabila menyumbang dua pingat emas dan satu gangsa pada Kejohanan Wushu Remaja Asia Ke-12 di Jiangyin, China.
Atlet muda negara, Lee Ronn Chunjin, mencuri tumpuan apabila menghadiahkan emas dalam acara Daoshu Lelaki Kumpulan B (12–14 tahun) selepas mencatat markah tertinggi 9.336, mengatasi wakil Chinese Taipei (9.330) dan Indonesia (9.320).
Kejayaan Lee disusuli Logan Lim Hong Cheng yang turut menghadiahkan emas dalam acara Nandao Lelaki Kumpulan C, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam kalangan kuasa baharu wusyu remaja Asia.
Turut menyerlah, Ong Wei Bin yang mempersembahkan rutin mantap dalam acara Qiangshu Lelaki Kumpulan A (15–18 tahun) dan berjaya meraih pingat gangsa dengan catatan 9.150 mata.
Pingat emas bagi acara itu dimenangi wakil Hong Kong (9.336) manakala Singapura meraih perak (9.320).
Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia, Datuk Dr. Chong Kim Fatt, hadir memberi sokongan di venue pertandingan dan meluangkan masa bertemu atlet serta jurulatih sambil menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian membanggakan itu.
“Kemenangan ini bukan sahaja satu pengesahan kemampuan atlet kita di pentas Asia, tetapi juga menjadi dorongan untuk terus melangkah ke hadapan dengan semangat dan ketekunan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan para atlet supaya kekal merendah diri, bekerja keras dan terus menjadikan disiplin sebagai asas dalam mengejar kecemerlangan di masa depan.
Dalam pada itu, Persatuan Wushu dalam satu kenyataan di media sosial turut merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih serta ibu bapa dan penyokong di tanah air yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan kontinjen muda kali ini.
“Kemajuan yang mantap, dengan rendah diri dan ketabahan ayuh Malaysia!” kata kenyataan tersebut. – UTUSAN










