Perenang warisan dapat lampu hijau MSN

Perenang warisan dapat lampu hijau MSN

JEFRI NGADIRIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) menyambut baik usaha Akuatik Malaysia (MAS) untuk mengenal pasti perenang warisan bagi menguatkan skuad renang kebangsaan.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, langkah itu dilihat selari dengan pendekatan yang telah lama digunakan oleh beberapa negara serantau termasuk Filipina.

“Kita rasa ini satu langkah yang baik, memandangkan banyak negara telah pun mula mencari atlet-atlet warisan mereka di negara lain.

“Negara Filipina sendiri telah pun memulakan program tersebut semasa mereka jadi tuan rumah Sukan SEA pada 2019,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di Pusat Dagangan Dunia, semalam.

Kata beliau, pihaknya kini masih menunggu senarai rasmi perenang yang dikenal pasti oleh MAS sebelum sebarang tindakan susulan dapat diambil.

Dalam pada itu, Jefri turut berkata bahawa kedatangan perenang warisan ini tidak menjejaskan bajet kewangan kepada MAS dan MSN.

“Sebelum ini pun ada atlet kita yang bermastautin ataupun berpusat di luar negara. Mereka hanya diberi bantuan sekiranya layak memasuki program Podium atau program-program lain.

“Tidak ada sebarang implikasi kewangan yang lebih. Sebagaimana atlet-atlet lain, mereka perlu melepasi kriteria yang ditetapkan oleh MSN untuk masuk program, mahupun oleh MOM (Majlis Olimpik Malaysia) untuk wakili negara,” jelasnya.

Kelmarin, Timbalan Presiden MAS, Marilyn Chua mendedahkan MAS sudah pun memulakan usaha mengenalpasti perenang-perenang yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia bagi mewakili skuad renang kebangsaan pada masa hadapan.

Menurutnya, badan induk berkenaan telah menghubungi beberapa warganegara Malaysia yang bermastautin di luar dan mendapat respons positif.

Sebagai rekod, antara negara yang menjadi sasaran MAS bagi mencari bakat-bakat tersebut termasuk beberapa kuasa besar renang dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan New Zealand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN