Pasukan Liga M uji skuad B-23

Pasukan Liga M uji skuad B-23

Nafuzi Zain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara kendalian Nafuzi Zain bakal menjalani aksi pemanas badan berdepan tiga pasukan Liga Malaysia (Liga M) bagi persiapan menjelang Kejohanan Piala ASEAN B-23 2025.

Kata Nafuzi, tiga pasukan itu adalah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang akan mereka hadapi pada 5 Julai ini, Melaka FC (8 Julai) dan PDRM FC (11 Julai). 

Katanya, perlawanan itu diadakan untuk menilai keserasian pemain dan memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan sistem permainan yang akan diterapkan bersama pasukan muda negara.

“Ini perlawanan penting untuk melihat tahap kesediaan pemain. Kami mahu bentuk satu pasukan yang memahami cara permainan yang dirancang,” katanya.

Nafuzi juga menjelaskan senarai 30 pemain yang disenaraikan pada kem latihan pusat kali ini  memiliki pelbagai latar belakang termasuk Liga Super, MFL Cup dan juga Piala Presiden.

“Saya gabungkan pemain berpengalaman dengan yang muda, termasuk mereka yang pernah beraksi dalam sistem saya sebelum ini. Ada juga muka baharu yang diberi peluang,” ujarnya.

Bekas jurulatih KDA itu, menjelaskan proses pemilihan dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira maklum balas daripada jurulatih pasukan masing-masing.

“Saya banyak hubungi jurulatih pasukan untuk dapatkan penilaian terus mengenai pemain. Kita mahu bawa pemain yang benar-benar bersedia dari segi mental, fizikal dan taktikal,” katanya.

Kejohanan terdekat menanti skuad muda negara adalah Piala ASEAN B-23 2025, dimana mereka akan membuka kempen berdepan Filipina sebelum bertemu Brunei dan akhirnya Indonesia dalam saingan Kumpulan A.

Piala ASEAN B-23 2025 disertai lapan pasukan dengan format dua kumpulan, dan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.

Selain itu, Nafuzi juga mahu memastikan skuad muda kali ini tampil lebih seimbang di setiap bahagian, bukannya hanya bergantung pada satu atau dua individu.

“Yang penting adalah pasukan. Kita perlu susun struktur dan identiti permainan agar lebih tersusun. Harapnya mereka tunjukkan potensi dalam tiga aksi itu nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN