PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong akan kembali menggalas cabaran di pentas antarabangsa apabila menyasarkan peringkat akhir dalam Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura bermula 11 Julai ini.
Pengarah Teknikal terjun negara, Yeoh Ken Nee,berkata, penyertaan Pandelela ke kejohanan itu diharap dapat memacu semangatnya selepas kecewa apabila terlepas slot final 10 meter (m) platform individu wanita Piala Dunia Terjun 2025 di Mexico dan Kanada pada April lalu.
“Pandelela akan mengambil bahagian di Kejohanan Dunia di Singapura. Sasaran kita adalah untuk mara ke peringkat akhir.
“Ia satu medan penting untuk menilai tahap prestasi beliau selepas kembali daripada beberapa kejohanan sebelum ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Namun begitu, seorang lagi penerjun utama negara, Nur Dhabitah Sabri tidak akan menyertai kejohanan tersebut kerana sedang menjalani tempoh pemulihan.
“Dhabitah tidak akan bertanding kerana dia masih dalam fasa pemulihan. Fokus utama beliau sekarang adalah untuk pulih sepenuhnya dan kembali cergas bagi kejohanan akan datang,” katanya.
Sebelum ini, Pandelela terpaksa akur selepas terlepas slot final 10 meter (m) platform individu wanita selepas menamatkan saingan di tempat ke-13 pusingan kelayakan Piala Dunia Terjun 2025 di Guadalajara, Mexico.
Selain itu, beliau juga gagal gagal layak ke final acara 10 m platform wanita di Piala Dunia Terjun Akuatik 2025 di Windsor, Kanada selepas menamatkan saingan di tempat ke-20 pada April lalu. – UTUSAN










