Persembahan ASEAN All Stars dapat pujian 

Persembahan ASEAN All Stars dapat pujian 

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meraikan kemenangan ASEAN All Stars menewaskan Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih ASEAN All Stars, Kim Sang Sik gembira dan bangga dengan barisan pemainnya selepas berjaya mengejutkan Manchester United 1-0 dalam aksi Piala Cabaran 2025 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Menyifatkan United sebagai salah satu kelab terbaik di dunia, beliau turut mengakui terkejut dengan persembahan yang ditampilkan skuad ASEAN All Stars meskipun hanya sempat berlatih sebanyak dua hari.

“Berdepan salah satu kelab terbaik di dunia, ia persembahan yang hebat dan menakjubkan dari ASEAN All Stars. Malah, kami berjaya memenangi perlawanan dengan 1-0 dan kami amat gembira.

“Kami hanya berlatih dua hari, tetapi mereka bermain seperti mereka sudah bersama 20 tahun yang mana pasukan beraksi dengan teratur.

“Kami berjaya kalahkan pasukan yang hebat dan ia juga satu penghormatan yang hebat. Ia juga menunjukkan pemain ASEAN mampu bersaing dengan pemain bertaraf dunia,” kata pengendali dari Korea Selatan itu.

Pada perlawanan itu, jaringan Maung Maung Lwin pada minit ke-71 sudah cukup untuk skuad ASEAN All Stars menjinakkan United di hadapan 72,550 penonton.

Sementara itu,  Kapten ASEAN All-Star, Sergio Aguero mengakui mereka sepatutnya meraih kemenangan lebih besar ke atas Manchester United dalam aksi Piala Cabaran 2025, kelmarin.

Pemain naturalisasi negara itu berkata, skuad gabungan pemain Asia Tenggara itu mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama, namun gagal diterjemahkan dengan jaringan.

“Kami sebenarnya boleh menang dengan lebih daripada satu gol. Pada separuh masa pertama, khususnya dalam 30 minit pertama, kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami tidak bolos dan selepas itu kami sedikit bertahan. Tetapi selepas jaringan itu, suasana memang luar biasa dengan semangat yang lebih baik,” katanya selepas perlawanan, kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN