Orozco tinggalkan Selangor FC? 

Orozco tinggalkan Selangor FC? 

Yohandry Orozco
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perancang tengah Selangor FC, Yohandry Orozco memberi bayangan tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah pada musim depan.

Bekas pemain kebangsaan Venezuela itu menerusi satu hantaran di laman sosialnya mengucapkan selamat maju jaya buat pasukan pada musim akan datang.

“Terima kasih untuk segalanya Selangor FC dan selamat maju jaya buat pasukan,” tulis Orozco di laman Instagram, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat.

Orozco turut mengucapkan terima kasih buat para penyokong setia Selangor yang selama ini banyak memberi sokongan kepadanya untuk tampil cemerlang di atas padang.

“Terima kasih kepada para peminat di atas sokongan! Terima kasih Malaysia. Banyak kenangan indah dan tidak terlupakan yang saya lalui di negara yang cantik ini,” tambah pemain itu lagi.

Di ruangan komen, beberapa rakan sepasukan Orozco di Selangor seperti Noor Al Rawabdeh, Fazly Mazlan dan Mukhairi Ajmal turut serta meninggalkan ucapan perpisahan.

Sepanjang bersama Selangor, Orozco berjaya membantu pasukan itu menamatkan saingan Liga Super musim ini selaku naib juara buat kali kedua berturut-turut dengan mengumpul 52 mata selepas 24 perlawanan.

Setelah musim berakhir, beberapa tonggak Selangor dilihat mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan seperti Khairul Azhan Khalid, Khuzaimi Piee serta kapten, Safuwan Baharudin.

Sehingga kini, tiada sebarang penjelasan lanjut daripada pihak kelab mengenai masa depan Orozco pada musim depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN