PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu mengetatkan lagi proses pemberian lesen Kkebangsaan kepada pasukan yang ingin menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Pendekatan ‘berlembut’ dikhuatiri mengundang masalah terutamanya membabitkan pasukan yang mempunyai hutang atau tunggakan gaji lapuk dengan pemain.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, isu tunggakan gaji yang sudah lama membelenggu ekosistem bola sepak negara memerlukan penyelesaian yang muktamad dan ia perlu bermula di peringkat pemberian lesen.
Katanya, MFL tidak seharusnya mengulangi kelonggaran yang diberikan pada musim lalu, di mana masih terdapat pasukan yang dibenarkan bersaing meskipun berdepan dengan masalah hutang gaji.
“Sudah sampai masanya untuk MFL bertindak lebih tegas dengan mengetatkan proses permohonan, kalau sesebuah pasukan itu tidak mampu lebih baik tarik diri sahaja. Masalah yang timbul kemudian hari hanya jejaskan pembangunan bola sepak.
“Penyertaan pasukan bermasalah hanya menyebabkan liga kita menjadi caca merba selain terkenal dengan majikan yang berhutang, terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa (FIFA) dan sehingga bila-bila masalah tidak akan selesai.
“MFL juga perlu meneliti perjanjian antara majikan dan pemain tentang tunggakan gaji kerana dikhuatiri perjanjian berkenaan hanya semata-mata untuk membolehkan pasukan mendapat Lesen Kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini difahamkan beberapa pasukan yang berdepan masalah kewangan musim lalu seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan Darul Naim (KDN) FC dan Kuala Lumpur City mendapat kelonggaran beraksi dalam saingan Liga M.
Pekan menegaskan MFL perlu mengambil pendirian yang lebih tegas dan berani dengan memastikan semua pasukan yang bertanding pada musim depan benar-benar bebas daripada hutang dan memiliki kestabilan kewangan yang kukuh.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa MFL memanjangkan tempoh lanjutan tarikh akhir bagi kelab-kelab Liga Super untuk melengkapkan dokumentasi pelesenan kelab kebangsaan 2024/2025.
Pengerusi Jawatankuasa First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif berkata, keputusan itu dibuat susulan beberapa permohonan rasmi daripada kelab yang memohon tempoh tambahan bagi memuat naik dokumen dalam sistem Konfederasi Bolasepak Asia (AFC CLAS). – UTUSAN










