KUALA LUMPUR: Rexy Mainaky menyifatkan barisan beregu lelaki yang dimiliki skuad kebangsaan pada masa ini adalah yang terbaik pada era ini, malah lebih bagus berbanding sewaktu beliau mula datang ke negara ini pada 2006.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, beliau sememangnya mengharapkan era pada ketika ini mampu mengulangi kegemilangan sewaktu kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia selaku jurulatih.
“Kalau saya bisa bercakap sedemikian (era yang terbaik), kerana pada waktu itu (2006), kita ada lima atau enam beregu yang berada dalam kelompok 15 terbaik.
“Maka, saya positif untuk melihat era kali ini, saya amat berharap kehadiran jurulatih Herry (Iman Pierngadi), saya pernah dilatih beliau dan saya tahu dengan pengalaman beliau kita bisa (melakukannya),” katanya kepada pemberita selepas Malaysia Masters 2025 berakhir di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, semalam.
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Indonesia itu berkata, dalam masa sama Malaysia harus waspada dengan Korea Selatan, China dan juga Denmark yang memiliki beregu muda sedang meningkat naik.
Dalam konteks Malaysia, kata Rexy, selain beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, skuad negara juga memiliki beberapa beregu yang mampu menghadirkan cabaran.
“Kita juga masih ada Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Arif Junaidi-Yap Roy King, selain beberapa beregu pelapis seperti Kang Khai Xing-Aaron Tai dan Bryan Jeremy Goonting-Muhammad Fazriq Mohamad Razif,” katanya.
Rexy berkata, latihan bersama beregu wanita dan juga campuran turut memainkan peranan peningkatan secara menyeluruh.
Katanya, sebagai contoh beregu remaja, Ong Xin Yee-Carmen Ong menunjukkan kemajuan yang baik, kekalahan mereka di tangan beregu handalan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian adalah disebabkan faktor pengalaman dan fizikal.
“Selain beregu remaja ini, kita juga melihat Hon Jian-Haikal mengejutkan naib juara Terbuka Thailand pada pusingan pertama dan kita lihat kemajuan ini cukup positif kerana kerjasama semua pasukan, jadi, semua ada peningkatan,” katanya. – UTUSAN











