PEMIMPIN-PEMIMPIN negara ASEAN berkampung di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025, sejak minggu lalu.
Dalam konteks pendidikan tinggi, pastinya pelbagai slogan akan kembali berkumandang seperti ‘Pendidikan bertaraf dunia’, Kelestarian serantau’, ‘Pembangunan manusia holistik’, dan ‘ekosistem pembelajaran inklusif dan berdaya tahan’.
Namun di sebalik idealisme yang dilaungkan, universiti-universiti di ASEAN terus berdepan dilema mendasar, adakah universiti di ASEAN benar-benar menjulang makna sebenar kelestarian dan keterangkuman atau sekadar mengulang retorik global tanpa akar, nilai dan realiti setempat?
HIJAU DI LUAR, KELABU DI DALAM
Dengan seluruh dunia membicarakan agenda kelestarian, hampir semua universiti di ASEAN semakin giat menyelitkan kata hikmat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) ke dalam dokumen dan naratif institusi masing-masing. Ada yang membina pusat kelestarian, mengintegrasikan kursus wajib SDG dan memperkenalkan dasar kampus hijau. Namun, pelaksanaannya kerap kali bersifat simbolik atau kosmetik.
Contohnya, universiti mengajar konsep neutral karbon dalam kuliah tetapi sistem pengangkutan kampus masih bergantung kepada bahan api fosil.
Di pusat penyelidikan iklim, profesornya giat menulis makalah bertajuk Climate Justice in Southeast Asia, namun masyarakat luar bandar berhampiran kampus terus bergelut dengan banjir dan pencemaran tanpa sebarang jalinan penyelesaian dari universiti itu sendiri.
Tambahan pula menurut tinjauan Jaringan universiti ASEAN untuk pendidikan tinggi bagi pembangunan lestari (AUN-HEPNet, 2023), hanya 27 peratus universiti di ASEAN benar- benar mengintegrasikan SDG secara menyeluruh dalam pengurusan, kurikulum dan penyelidikan. Ini menunjukkan masih wujud jurang besar antara strategi dan pelaksanaan sebenar dalam menterjemah kelestarian sebagai nilai hidup, bukan sekadar agenda akademik.
CELIK DIGITAL, TAPI BUTA REALITI
Inisiatif seperti ASEAN Cyber University dan Projek CALOHEA (Mengukur dan membandingkan pencapaian hasil pembelajaran di pengajian tinggi di Asia) dibangunkan untuk mengarusperdanakan mobiliti dan pendidikan digital serantau. Ia merupakan cita-cita mulia namun pelaksanaan di akar umbi masih jauh daripada realiti pelajar di negara-negara ASEAN.
Maka, di samping meraikan dan menyebarluaskan inisiatif ini, masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan segera.
Jurang digital inter dan intra ASEAN masih besar. Institut Statistik UNESCO (2022) melaporkan sekitar 63 peratus pelajar luar bandar di Asia Tenggara mengalami gangguan capaian internet atau kekurangan peranti untuk pembelajaran dalam talian.
Isu ini sangat mengecewakan dan merisaukan ketika di peringkat atas tidak lekang berbicara pembelajaran dalam talian. Apa ertinya universiti pintar jika akses asas kepada teknologi masih tidak menyeluruh? Apa ertinya pendidikan lestari jika majoriti pelajar tidak dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang bermakna kerana jurang digital berterusan?
UNIVERSITI ELIT, MASYARAKAT TERPINGGIR
Universiti di ASEAN kini semakin terperangkap dalam obsesi terhadap ranking global.
Banyak institusi pendidikan tinggi berlumba-lumba untuk menaikkan kedudukan dalam penarafan antarabangsa, menjadikan ranking sebagai ukuran utama kecemerlangan mengatasi keperluan masyarakat setempat.
Ini menyebabkan pelaburan besar dalam strategi penjenamaan dan penerbitan ilmiah, tanpa impak nyata kepada komuniti.
Sementara itu, kandungan kurikulum terus menjauh daripada realiti dan keperluan industri tempatan.
Akibatnya, menurut Bank Pembangunan Asia (ADB, 2023), hanya 40 peratus graduan ASEAN memiliki kemahiran yang sepadan dengan keperluan pasaran kerja tempatan. Ini mencerminkan kegagalan sistem pendidikan tinggi dalam menghasilkan modal insan yang relevan, adaptif dan berpijak di bumi nyata.
KOMUNIVERSITI PILIHAN TERBAIK
Sebagai respons kepada jurang yang wujud, pendekatan komuniversiti iaitu gabungan antara komuniti dan universiti perlu diberi perhatian serius sebagai model alternatif yang relevan, kontekstual dan inklusif untuk benar-benar meng-ASEAN-kan pendidikan tinggi.
Komuniversiti tidak melihat komuniti sebagai penerima pasif, tetapi sebagai rakan ilmu. Ia menuntut universiti turun dari menara gading membina pengetahuan bersama petani, pelajar sekolah, pengusaha kecil dan masyarakat luar bandar yang sering terpinggir daripada ekosistem rasmi pendidikan.
Pendekatan ini selari dengan Laporan Masa Hadapan Pendidikan UNESCO (2021) yang menyeru agar universiti menjadi ruang awam kolektif — tempat ilmu, tindakan dan keadilan sosial berpadu.
Komuniversiti menyediakan kerangka pengukuran yang lebih membumi untuk universiti ASEAN:
– Inklusiviti bermakna: Bukan hanya siapa yang diterima masuk, tetapi siapa yang benar-benar mendapat manfaat.
– Kelestarian sebenar: Diukur melalui impak kepada masyarakat, bukan hanya pencapaian audit karbon.
– Keterlibatan pelbagai hala: Universiti sebagai jambatan antara dasar awam, penyelidikan dan amalan serta realiti akar umbi.
Sidang Kemuncak ASEAN 2025 membuka peluang untuk memperkukuh peranan universiti sebagai ejen perubahan lestari dan inklusif tidak boleh dipersiakan.
Tema ‘kelestarian dan keterangkuman’ yang diketengahkan mesti disusuli dengan keberanian untuk beranjak dari retorik kepada tindakan.
Malaysia boleh memimpin anjakan ini melalui tiga fokus utama:
– Kurikulum yang membumi: Pelajar perlu dilatih bukan hanya untuk menulis tesis tetapi membina penyelesaian sebenar berdasarkan konteks setempat.
– Kampus sebagai komuniti hidup: Universiti perlu menjadi ruang pembelajaran yang lestari, terbuka dan terhubung dengan masyarakat.
– Indeks impak sosial dan ekologi: Kejayaan universiti perlu diukur melalui impak kepada rakyat dan alam sekitar, bukan semata-mata ranking.
Rumusannya, kita tidak perlukan lebih banyak slogan dan pelan strategik tetapi keberanian untuk bertindak.
Jika universiti di ASEAN bersedia mengakar dalam pendekatan komuniversiti, mengutamakan nilai keadilan sosial dan memperkasa komuniti, maka pendidikan tinggi bukan sahaja akan kekal relevan tetapi merealisasikan impian ASEAN yang benar-benar inklusif selain lestari. Insya-Allah.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera Untuk Kelestarian dan Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Ahli Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT).










