PETALING JAYA: Lagenda Singapura, Fandi Ahmad tetap menjadi pilihan utama untuk mengendalikan Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, selain Fandi tiga individu iaitu Sulaiman Hussin, S. Balachandran dan bekas pemain skuad Ibu Kota, Milomir Seslija turut menjadi calon jurulatih.
Menurut Syed Yazid, nama tiga individu itu telah dibincangkan alam mesyuarat khas Exco KLFA, namun tiada kata putus dengan Fandi menjadi keutamaan jika tidak terikat dengan Sri Pahang FC.
Katanya, KL City sentiasa ‘membuka pintu’ kepada Fandi namun segalanya bergantung kepada masa depan Sri Pahang, sama ada kekal di Liga M musim 2025/26 atau pun sebaliknya.
“Saya memang ada berhubung dengan Fandi tetapi beliau masih lagi terikat dengan Sri Pahang. Jadi sekiranya Sri Pahang tidak meneruskan aksi di Liga Super, mungkin nama dia kita akan ketengahkan balik.
“Kita nak putuskan ketua jurulatih dulu, biar dia buat keputusan untuk pilih pemain yang akan datang. (Akan dimuktamadkan) dalam bulan ni sebab kontrak pemain Kuala Lumpur City tamat pada hujung April, jadi dalam kadar segera kita kena putuskan siapa ketua jurulatih,” katanya.
Syed Yazid menjelaskan fokus utamanya adalah untuk membebaskan pasukan daripada masalah berulang membabitkan isu tunggakan gaji dan hal ini menjadi pertimbangan utama sebelum membuat keputusan akhir tentang senarai lengkap The City Boys bagi saingan Liga M musim depan.
Berkenaan perlesenan kelab, Syed Yazid memaklumkan secara dasarnya segala proses berjalan lancar dan pihaknya yakin hal KL City akan memperoleh lesen kebangsaan.
“Daripada segi perlesenan kelab, kita hanya tinggal kriteria kewangan (perlu diselesaikan) dan kita akan hantar dalam tempoh sehari dua ini. Bagi saya tidak ada masalah untuk kita dapatkan lesen,” katanya. – UTUSAN










