MILAN: Davide Frattesi membawa Inter Milan ke final Liga Juara-Juara selepas menyumbat gol penentu pada masa tambahan sekali gus memberi kemenangan 4-3 ke atas Barcelona dan melengkapkan agregat 7-6 hari ini.
Pemain tengah Itali itu meledak gol pada minit ke-99, menggegarkan San Siro yang penuh sesak dengan sorakan kegembiraan.
Pasukan bimbingan Simone Inzaghi itu akan menentang sama ada Arsenal atau Paris Saint-Germain pada penghujung bulan ini di Munich, di mana mereka merasakan mempunyai peluang besar untuk dinobatkan sebagai juara Eropah buat kali keempat selepas mengatasi perlawanan epik ini.
Kemenangan itu menyelamatkan musim Inter selepas impian mereka untuk merangkul gelaran treble musnah walaupun berjaya melepasi Bayern Munich di peringkat suku akhir.
Inter terpaksa melepaskan kedudukan teratas Serie A kepada Napoli, yang kini menjadi pilihan utama untuk menjuarai liga domestik sementara AC Milan menyingkirkan mereka dari Piala Itali dua minggu lalu.
Namun, Inter berjaya menamatkan impian Barcelona untuk meraih empat kejuaraan dalam satu musim, dan kini mara ke minggu-minggu terakhir musim ini dengan penuh semangat, menuju ke final Liga Juara-Juara kedua mereka dalam tiga musim.
Gol kemenangan Frattesi, yang merupakan jaringan ketujuh beliau musim ini dan mungkin yang paling penting dalam kerjayanya lebih mengagumkan kerana Inter sepatutnya sudah tersingkir.
Pasukan tuan rumah hampir tersingkir dengan hanya dua minit berbaki dalam masa sebenar apabila Raphinha melengkapkan kebangkitan Barcelona dari ketinggalan dua gol pada separuh masa, memberikan mereka kelebihan 3-2.
Namun Francesco Acerbi mengejutkan tuan rumah, termasuk penyokong Barca apabila beliau menyempurnakan hantaran lintang Denzel Dumfries pada minit kedua masa tambahan.
Gol itu hadir secara tiba-tiba kerana Barcelona ternyata lebih baik sepanjang babak kedua selepas ketinggalan hasil jaringan cemerlang Lautaro Martinez dan penalti Hakan Calhanoglu pada masa kecederaan di separuh masa pertama.
Eric Garcia dan Dani Olmo menyamakan kedudukan untuk Barcelona dengan jaringan pada minit ke-54 dan ke-60, kedua-duanya hasil hantaran hebat Gerard Martin, dan Yann Sommer terpaksa beraksi cemerlang untuk memastikan Inter terus berpeluang.
Sommer mungkin melakukan aksi penyelamatan terbaik musim ini antara dua gol pertama Barca, apabila beliau berjaya menggagalkan cubaan Eric Garcia selepas serangan balas pantas oleh Barcelona.
Penjaga gol Switzerland itu sekali lagi menjadi penyelamat pada minit ke-113 apabila beliau menyelamatkan satu lagi percubaan menakjubkan daripada Lamine Yamal, yang terkena tiang sebelum gol penyamaan Acerbi.
Inter kemudian bertahan daripada asakan Barca ketika penyokong tuan rumah menahan nafas sebelum meletus dengan sorakan gemuruh sebaik wisel penamat dibunyikan dalam perlawanan terbaik musim ini. – AFP/UTUSAN










