PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek menyifatkan kebanyakan pemain sekarang lebih banyak memasang impian daripada usaha yang sepatut dilakukan..
Rashid yang pernah membantu skuad badminton negara menjuarai Piala Thomas edisi 1992 di samping meraih gangsa Sukan Olimpik 1996 berkata, rata-rata pemain generasi kini percakapan mereka tidak seiring dengan usaha yang dilakukan.
Katanya, sekiranya pemain itu menetapkan sasaran untuk bergelar juara atau berada dalam 10 terbaik dunia, percakapan mereka perlulah disusuli dengan usaha keras.
“Nak kata pemain sekarang manja itu tidak tetapi pemain sekarang mereka punya matlamat di mana? Cakap memanglah cakap nak jadi juara dunia atau 10 terbaik dunia.
“Tetapi, cakap tak serupa bikin, orang kata. Ya, cakap betul bagus, namun apabila waktu latihan, buat latihan tiada sepenuh hati. Boleh jadi 10 terbaik dunia? Macam itulah (maksud saya). Kita kena selari dengan apa yang disasarkan,” katanya.
Rashid ditemui pemberita selepas menerima pengiktirafan sebagai Ikon Sukan pada majlis Anugerah Sukan Universiti Malaya (UM) di sini kelmarin.
Dalam pada itu, Rashid turut berkata Malaysia mampu memberikan saingan hebat pada Piala Thomas 2026 namun perlu merencanakan strategi terutamanya perlu memiliki tiga beregu lelaki yang menjadi sandaran untuk menyumbang mata.
“Kita dah ada tiga beregu yang mantap. Kalau Lee Zii Jia dapat sumbang satu mata bagi perseorangan, kita cuma perlukan satu lagi daripada pemain seperti Justin Hoh atau Leong Jun Hao. – UTUSAN









