Guru perlu miliki sifat mendidik, bukan sekadar bekerja

Guru perlu miliki sifat mendidik, bukan sekadar bekerja

AMINUDDIN AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TAHUN ini, salah satu keutamaan Kementerian Pendidikan adalah meningkatkan profesionalisme guru dalam usaha untuk merealisasikan reformasi pendidikan negara.

Usaha tersebut dilihat sebagai perkara positif buat Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), AMINUDDIN AWANG ketika golongan guru berdepan pelbagai cabaran yang perlu ditangani. Ia juga perlu dipastikan tidak menjejaskan tugas hakiki mendidik.

Ikuti temubual beliau bersama wartawan Utusan Malaysia, OMAR ZIN sempena sambutan Hari Guru hari ini.


PERKEMBANGAN PROFESION GURU
Guru-guru berhadapan dengan sikap ibu bapa generasi sekarang yang sangat menguji ketahanan mental. Terlalu banyak pantang larang yang perlu guru patuhi bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa banyak ‘gangguan’ daripada ibu bapa, terutamanya apabila anak-anak mereka ‘diusik’ oleh guru.

Berbanding dulu, guru-guru generasi sekarang seolah-olah bekerja 18 jam sehari. Mengapa saya katakan 18 jam? Kerana setelah balik dari sekolah lebih kurang pukul 2.30 petang, mereka terpaksa pula melayan pelbagai kerenah ibu bapa atau kadang-kadang anak-anak dalam kumpulan media sosial yang diwujudkan, sama ada Whatsapp atau Telegram. Walau bagaimanapun, dalam aspek penggajian pendapatan, kita dapati guru-guru generasi sekarang berada pada paras yang sangat baik, apatah lagi, kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 8 peratus pada Disember 2024 lalu dan akan ada kenaikan 7 peratus lagi pada Januari 2026.

CABARAN TERBESAR
Kita sedang berada dalam fasa perkembangan teknologi yang cukup pantas berkembang. Murid-murid di sekolah rendah atau menengah mempunyai maklumat yang boleh diakses dengan mudah. Apatah lagi, dengan adanya teknologi kecerdasan buatan (AI), sudah pastilah menambah lagi cabaran guru dalam sistem pendidikan. Jadi, guru perlu lebih ke hadapan daripada murid-murid supaya dapat tarik minat mereka.

Guru generasi sekarang juga perlu mewujudkan ‘roh’ guru yang kuat dalam diri kerana jika ia ada, tetapi tidak kuat, tidak mustahil guru-guru tersebut boleh terkandas dalam memikul tanggungjawab dan boleh mengambil keputusan untuk berhenti menjadi pendidik. Bahasa mudahnya, bersara awal. Perkara seperti inilah kita hendak elakkan.

Cabaran lain ialah apabila kebanyakan ibu bapa beranggapan keputusan akademik anak sebagai fokus utama, tetapi hakikatnya keperibadian murid itu yang perlu digilap dulu dan itu sebenarnya menjadi satu cabaran kepada guru-guru sekarang. Sedangkan matlamat persekolahan yang menjadi tanggungjawab guru ialah menjadikan murid sebagai insan sejahtera yang mengamalkan kehidupan seimbang dalam segala aspek, bukannya hal-hal akademik semata-mata.

USAHA NUTP
NUTP sentiasa komited dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ‘payung besar’ yang menjaga kebajikan guru dan memastikan setiap permasalahan melibatkan isu perseorangan dalam aspek perkhidmatan, bantuan guaman bagi mereka yang dihadapkan ke mahkamah atau apa-apa isu yang melibatkan keseluruhan profesion ini sentiasa diperjuangkan.

Sebagai contoh, NUTP sekarang sedang berusaha keras bagi menyelesaikan beberapa isu yang melibatkan guru-guru di sekolah rendah. Antaranya isu guru penolong kanan yang berada pada gred DG12 yang tidak boleh bertukar sekolah walau apa alasan sekalipun. Sangat ramai guru yang terlibat dalam isu ini.

Begitu juga isu guru-guru di sekolah rendah yang berada pada gred DG12 tidak boleh dilantik sebagai guru penolong kanan. Siapa mereka? Mereka ialah guru-guru yang berkhidmat paling kurang pun 16 tahun dalam bidang pendidikan. Ada yang berkhidmat lebih 20 tahun. Mereka inilah yang patut dilantik sebagai guru penolong kanan, berdasarkan pengalaman dan kematangan dalam aspek usia tetapi peraturan sekarang tidak menyebelahi mereka.

Nasib guru besar lagilah menyedihkan. Apabila naik ke gred DG13, mereka perlu diturunkan sebagai guru biasa. Isu-isu ini sedang NUTP perjuangkan bagi memastikan keadilan dapat ditegak dalam masa terdekat.

PENAMBAHBAIKAN PROFESION GURU
Kita mahu lebih banyak peruntukan diberikan dalam aspek latihan guru. Selaras dengan cabaran baharu dalam dunia pendidikan, khasnya berkaitan teknologi pendidikan. Guru-guru di negara kita perlu ditingkatkan ilmu selaras cabaran di sekeliling dalam memastikan mereka dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik dengan lebih berkesan.

NUTP mendapati tidak banyak latihan secara bersemuka dalam status memberikan impak positif besar berjaya dilaksanakan oleh pihak JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) atau PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) disebabkan kekangan kewangan.

Begitu juga dengan peralatan ICT (teknologi komunikasi maklumat) di sekolah. Kita sebenarnya amat ketinggalan dalam isu ini. Guru-guru kebanyakannya menggunakan peralatan atau teknologi peribadi bagi membolehkan objektif sesuatu tugasan yang diberikan kepada mereka dapat dilaksanakan dengan sempurna.Ini sebenarnya amat menyedih dan memalukan apabila guru-guru membandingkan nasib mereka dengan pegawai-pegawai awam daripada profesion lain. Tiada profesion yang kakitangannya menggunakan barangan peribadi bagi menjalankan tugas rasmi, selain keguruan.

Dalam hal ini, NUTP amat berharap agar dua isu ini dapat diberikan perhatian serius oleh kerajaan bagi memastikan sektor pendidikan kita terus relevan untuk bersaing di pentas dunia.

MESEJ KEPADA GURU
NUTP sebagai sebuah kesatuan guru terbesar di negara ini sentiasa komited untuk memastikan setiap dasar kerajaan dalam memajukan sektor pendidikan negara tidak kira sama ada di peringkat prasekolah, sekolah rendah, menengah rendah, menengah atas atau peringkat tinggi sentiasa disokong sepenuhnya.

Dalam konteks guru pula, NUTP berharap agar setiap dasar atau program-program baharu diwujudkan kerajaan melalui Kementerian Pendidikan disokong sepenuhnya oleh guru dan jika ada penambahbaikan yang perlu dibuat, gunalah saluran betul untuk memberikan input-input penambahbaikan tersebut.

Antara saluran yang betul itu ialah melalui NUTP, iaitu organisasi yang sah dan diiktiraf. Ia bagi memastikan keperluan dan kebajikan guru sentiasa dipelihara dalam menjalankan misi merealisasikan matlamat sesuatu dasar atau program yang dirancang oleh kerajaan.

MASA HADAPAN

NUTP amat berharap kerajaan memberikan fokus terhadap pengambilan guru-guru yang betul-betul berjiwa guru dan mempunyai ‘roh’ guru. Kita tidak mahu profesion keguruan pada masa akan datang dimonopoli oleh mereka yang sekadar menjadikan bidang ini tempat bekerja tanpa adanya sifat mendidik.

Kita mahu guru-guru generasi sekarang dan akan datang mempunyai semangat guru, semangat pendidik sama seperti guru-guru generasi 70-an atau 80-an tetapi mempunyai kemahiran teknologi yang relevan dengan perkembangan semasa, terkini dan ke hadapan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN